Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul turunkan had umur mengundi dibentang pada sidang Parlimen ini

Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun pada sidang Parlimen Mac ini.

"Insya-Allah saya sasarkan (bawa usul) pada sesi ini. Sebab itu kita tengah bincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk buat pindaan perlembagaan tersebut," kata menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada pemberita selepas sesi townhall parlimen Belia Malaysia (PBM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Had umur layak mengundi pada masa ini ialah 21 tahun. Penurunan had itu termasuk dalam janji manifesto Pakatan Harapan pada PRU ke-14.

Pada 19 September lalu, kabinet bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu.

Syed Saddiq yang juga anggota parlimen Muar berkata, pihaknya juga menggerakkan jawatankuasa anak muda yang menghimpunkan wakil parti-parti politik dalam usaha ke arah menurunkan had umur layak mengundi.

“Kita panggil Bersatu, PAS, Umno dan yang lain-lain dan mereka capai konsensus dalam isu ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementeriannya akan mengusulkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun ke 30 tahun.

"Jika ikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia sekarang, (had umur) 40 tahun ke bawah. Sebab itu saya akan bentangkan dalam sidang Parlimen kali ini atau akan datang untuk turunkannya kepada 30 thaun.

Di negara lain had piawaian umur belia adalah 28 tahun ke bawah tetapi kita masih tersekat di umur 40 tahun," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS