Malaysiakini
BERITA

PSM: Skim mySalam hanya untungkan syarikat insurans, bukan rakyat

Wong Kai Hui

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Feb 2019, 12:18 tengahari

PRK SEMENYIH | Pelaksanaan skim insurans kesihatan mySalam oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya memberi manfaat kepada sebuah syarikat insurans swasta, bukannya rakyat, kata anggota jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

MySalam, atau Skim Perlindungan Nasional B40 (berpendapatan rendah), diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan 2019 pada November lalu.

Ia didanai oleh syarikat insurans dan takaful Great Eastern dengan sumbangan RM2 bilion.

Terdahulu, Great Eastern yang merupakan syarikat berpangkalan di Singapura dilaporkan telah dikecualikan daripada syarat Bank Negara agar syarikat insurans luar di Malaysia perlu dimiliki sebanyak 30 peratus oleh pelabur tempatan, sebagai pertukaran untuk sumbangan itu.

"Bagi Great Eastern, mereka kini tidak perlu menjual 30 peratus pegangang kepada lembaga-lembaga di Malaysia.

"Pada masa sama, mereka juga mendapat perniagaan bernilai RM2 bilion dalam masa lima tahun," dakwanya yang juga bekas anggot parliman Sungai Siput, dalam sidang media di Kampung Sungai Sireh, Semenyih, hari ini.

Katanya lagi, sebagai syarikat insurans untuk skim itu, Great Eastern kini mendapat akses terhadap pangkalan data golongan B40, yang menurutnya terdiri daripada tiga juga keluarga.

"Siapa beri (maklumat) ini kepada mereka? Adakah ini sumbangan untuk mereka, atau satu skandal?" soalnya.

Beliau mempersoalkan keputusan kerajaan memperkenalkan skim itu yang didakwanya tanpa melalui rundingan dengan pihak yang berkepentingan.

"Jika anda fikir tak perlu berbincang dengan PSM kerana kami parti politik, tak mengapa. Tetapi bagaimana dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)?"

Jeyakumar berkata kerajaan bersikap "angkuh" dan enggan membincangkan perkara itu.

"Mereka melindungi syarikat swasta besar, bukannya menjaga kepentingan rakyat," katanya lagi.

'Klinik kesihatan jadi hospital'

Justeru, beliau menggesa pengundi di Semenyih agar memilih calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul pada PRK 2 Mac ini sebagai bantahan kepada dasar PH.

"Maka kami menggesa pengundi Semenyih untuk menghantar mesej kepada PH, dengan mengurangkan undi mereka. Tolong undi Nik (Aziz) untuk tunjukkan (bantahan) kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, Nik Aziz yang turut menyertai sidang media itu membangkitkan keperluan untuk menambah baik kemudahan perubatan di Semenyih dengan segera.

Katanya, klinik kesihatan Semenyih hanya memiliki lapan doktor untuk berkhidmat kepada semua penduduk di situ.

Dalam manifesto PRK, beliau mencadangkan agar klinik kesihatan dinaik taraf menjadi hospital.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.