Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan yang beliau tidak pernah percuti sebagai ahli parti itu meskipun kini menyerahkan tugas kepada timbalannya, Mohamad Hasan.

Ahmad Zahid yang kini sedang bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Presiden Umno berkata beliau akan menentukan bila cutinya itu akan berakhir.

"Saya tidak pernah bercuti sebagai ahli Umno.

"(Bila habis bercuti)...Nantilah saya tentukan," katanya ketika ditemui di program kempen BN di Pekan Semenyih, malam ini.

Pada 18 Disember lalu Ahmad Zahid akhirnya mengalah kepada desakan yang mengaitkan beliau dengan tindakan wakil rakyat Umno meninggalkan parti.

Beliau kemudian menyerahkan tugas presiden Umno kepada Mohamad.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kehadiran beliau di Semenyih tidak mewakili jentera Umno, sebaliknya hanya memenuhi undangan program yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO).

Hadir sama calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Zakaria Hanafi.

Mengulas mengenai dakwaan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan PAS tidak menyokong Umno di Semenyih, Ahmad Zahid berkata penjelasan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan jelas membuktikan dakwaan Pengerusi Bersatu itu tidak benar.

"Cukuplah kalau kenyataan yang tidak benar itu dinyatakan sebagai sesuatu yang benar maka rakyat boleh buat interpetasi sesuatu isu itu berdasarkan kebenaran," katanya.

Lihat Komen
ADS