Paling Popular
Terkini

Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar menyifatkan PAS semakin panik dalam mempertahankan pendirian parti itu yang menurutnya sering bercanggah.

Sivakumar berkata, ia dapat dilihat dalam tindakan parti itu menuduh PAS dan DAP mahu membelot Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam isu berhubung pendirian PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih sebelum ini.

"Sejak pendedahan Dr Mahathir bahawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang berjanji tidak akan menyokong Umno di PRK Semenyih, pemimpin-pemimpin PAS sudah panik sehingga kenyataan mereka semakin mengelirukan rakyat.

"Kata mereka, bahawa jumpa Dr Mahathir kononnya nak tunjuk sokongan selepas DAP dan PKR mempunyai agenda menggulingkan Dr Mahathir.

"Selepas DAP minta bukti, ada pula pemimpin menunjukkan kebodohan dengan meminta balik DAP menyatakan sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk satu penggal sedangkan satu Malaysia tahu bahawa adanya persefahaman antara Dr Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim," katanya kepada Malaysiakini.

Sivakumar yang juga merupakan ahli parlimen Batu Gajah berkata, PAS pada zaman Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat berbeza dengan PAS hari ini.

"Dulu, PAS ketika Tok Guru (Nik Aziz) sangat disanjungi dalam kalangan bukan Muslim, tetapi sekarang dikritik hebat oleh ahli partinya sendiri.

"Sekejap kata suara rakaman audio bukan miliknya. Lepas itu, mengakuinya kerana (mendakwa) wajib bohong," katanya merujuk pengakuan Anggota Jawatankuasa Pusat PAS berhubung rakaman audio yang didakwa mengandungi pengakuan penerimaan dana Umno.

Pertikaian berhubung sokongan PAS terhadap Umno timbul selepas Dr Mahathir mendakwa dimaklumkan oleh Abdul Hadi bahawa PAS tidak akan menyoong calon BN di Semenyih.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mendakwa terdapat perjanjian bertulis dengan PAS untuk parti pimpinan Abdul Hadi itu tidak lagi menyokong Umno dalam PRK 2 Mac ini.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan perjanjian bertulis itu ialah sokongan 18 anggota parlimen PAS dalam parlimen jika terdapat undi tidak percaya daripada parti dalam PH.

Berkaitan kerjasama dengan Umno di Semenyih pula, Takiyuddin berkata kali ini tidak akan sama dengan yang disaksikan di Cameron Highlands.

Lihat Komen
ADS