Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: Usah peduli khabar angin pembangkang
Diterbitkan:  Feb 20, 2019 9:41 AM
Dikemaskini: 1:41 AM

Abaikan dakwaan komplot mahu menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya fokus kepada menambah bilangan ahli parti, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata tuduhan mengenai ada pihak mahu mengemukakan usul undi tidak percaya kepada perdana menteri dibuat sebagai helah pembangkang untuk mengalihkan perhatian ramai daripada isu yang lebih besar.

Katanya ketika ini ada segelintir tokoh sedang berdepan dengan tuduhan dan siasatan pihak berkuasa atas skandal tertentu.

Pada masa sama menurut Mohamad segelintir pemimpin parti terbabit berdepan krisis kepemimpinan sehingga ia menghilangkan kepercayaan dalam kalangan ahlinya.

"Sebagai presiden Amanah, saya menyeru kepada anggota di segenap peringkat untuk terus menumpukan kepada usaha mengembangkan serta menambah keahlian anggota parti.

"Paling penting, kita perlu bekerja keras untuk memastikan calon PH menang dalam PRK Semenyih nanti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu mengenai komplot pihak tertentu mahu menjatuhkan Mahathir ditimbulkan PAS beberapa hari selepas tiga pemimpin kanan parti itu menemui Mahathir di Kuala Lumpur.

Asalnya perdana menteri mendakwa PAS berjanji untuk tidak menyokong Umno dan BN dalam PRK Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa isu berkenaan tidak berbangkit. Malah beliau dan beberapa pemimpin PAS hadir di Semenyih untuk memberi sokongan kepada calon pembangkang.

Sebaliknya menurut anggota parlimen Kota Bharu itu beliau menandatangani surat contoh sokongan PAS kepada Mahathir jika ada pihak dalam PH yang mengemukakan undi tidak percaya kepada perdana menteri.

Semua parti komponen PH menafikan dakwaan tersebut.

Mohamad berkata tuduhan berkenaan dibuat bagi mengganggu fokus kerajaan yang sedang bekerja keras untuk mensejahterakan hidup rakyat.

"Ingin ditegaskan, tidak timbul langsung soal undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

"Amanah dan parti komponen lain dalam PH sentiasa teguh di belakang Mahathir dalam usaha melakukan reformasi menyeluruh dan menambah baik tadbir urus negara," katanya.

Lihat Komen
ADS