Fuziah kesal SOP bauksit tak dibincang lebih awal
Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mendesak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli memberikan lebih banyak maklumat mengenai keputusan kerajaan menarik balik moratorium pelombongan bauksit di Pahang.
Mengakui menteri terbabit Dr A Xavier Jeyakumar berdepan banyak tekanan untuk menarik balik larangan sejak tiga tahun lalu itu, Fuziah berkata keputusan tersebut wajar disertakan dengan pemakluman awam mengenai prosedur operasi standard (SOP) serta laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) pelombongan bauksit.
Katanya ada kebimbangan terhadap pelaksanaan keputusan berkenaan kerana ia melibatkan alam sekitar.
Menurut Fuziah antara aspek yang menggusarkan ialah SOP yang memerlukan bahan tersebut dibersihkan terlebih dulu sebelum boleh dieksport.
Beliau yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata langkah itu hanya akan menyebabkan sisa logam berat mencemari sungai dan sumber air.
"Memproses bauksit di sini akan melibatkan sisa yang mengandungi logam berat," katanya yang dipetik Sinar Online.
Kata Fuziah tanpa syarat baru itu dulu, aktiviti pelombongan bauksit menghadapi masalah penguatkuasaan.
"Inikan pula nak buat pemprosesan dan pembasuhan. Ini perkara baru dan SOP yang dimaksudkan perlu dikongsikan (kepada orang ramai)," katanya lagi.
Beliau yang sebelum ini lantang membangkitkan kesan negatif daripada pelombongan bauksit menambah syarat agar bahan itu dibersihkan terlebih dulu lebih sukar dilaksanakan.
"Saya kesal. Sepatutnya kementerian berbincang terlebih dulu dengan orang awam mengenai SOP yang dimaksudkan," katanya.

