Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata partinya tidak akan merebut kerusi DUN Rantau dari PKR pada pilihan raya kecil akan datang.

Katanya, persefahaman tentang pemilikan kerusi DUN atau Parlimen sudah diputuskan oleh parti-parti di bawah Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Rantau adalah kerusi PKR, jika saya tidak salah, calon itu dilarang dan tidak dibenarkan memasuki (dewan pencalonan) pada pilihan raya umum lalu.

"Setakat yang saya tahu, parti yang akan bertanding adalah PKR, kali terakhir ia adalah PKR tetapi terpulang kepada PKR.

"Kita sudah ada konsensus mengenai kerusi mana milik parti mana, seperti (kerusi) Semenyih adalah milik kita. Ini sudah diselesaikan dan Pagoh milik saya, tidak ada apa-apa untuk bergaduh," katanya yang dipetik oleh Astro Awnani semasa sidang akhbar di Putrajaya malam semalam.

Pesiden PKR, Anwar Ibrahim Isnin lalu dilaporkan berkata walaupun kerusi Rantau di Negeri Sembilan secara tradisinya ditanding oleh PKR, namun ia bukan satu peraturan tetap dan calon parti-parti lain PH boleh dipertimbangkan.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan timbalan presiden Umno Mohamad Hasan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban.

Pada 28 April tahun lalu, Dr S Streram yang merupakan calon PH mewakili parti PKR tidak dibenarkan bertanding dalam PRU14 ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon.

Lantaran itu, calon BN, Mohamad Hasan, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.

Pada 23 Mei lalu, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya, Mohamad tidak dipilih secara sah dan terbatal.

November lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya di Seremban memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.

Berikutan itu, Mohamad memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.