Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK SEMENYIH | Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, terus berlalu dan enggan menjawab soalan wartawan selepas ditanya tentang ketiadaan isterinya, Rosmah Mansor, dalam semua program yang dihadirinya akhir-akhir ini.

Soalan itu dilontarkan wartawan kerana ia dibangkitkan secara berseloroh oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, yang hadir berkempen kelmarin.

Malaysiakini menyiarkan laporan berkenaan semalam. 

Apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Azmin itu, Najib enggan memberikan kenyataan lanjut.

"Tak payahlah soal isteri... Tak usah masuk dalam hal ini, isteri dia (Azmin) pun ada macam-macam cerita," kata Najib ringkas.

Azmin dan isterinya Shamsidar Taharin

 Terdahulu Najib yang kini popular dengan panggilan "bossku" bertemu orang ramai di sekitar Pasar Pagi Rabu di Beranang, Semenyih, sebentar tadi.

Berucap di Kampung Rinching Hilir, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menyindir Najib yang kini muncul secara bersendirian di majlis-majlis yang diaturkan untuknya.

Kata Azmin, beliau hairan Najib memilih menunggang motosikal seorang diri untuk berkeliling kampung.

“Adalah budak-budak ikut jerit: bossku! Bossku! Bossku!

"Saya cadang, kalau boleh (Najib) jangan naik sorang. Bawalah yang seorang lagi (isteri) tu. Janganlah jalan sorang-sorang. Bolehlah dia bonceng di atas motor tu,“ kata Mohamed Azmin berseloroh.

Terdahulu Najib meluangkan masa menikmati sarapan bersama orang ramai di sebuah warung.

Kemunculan itu segera menarik perhatian masyarakat setempat dan beliau diserbu orang ramai yang ada di pasar pagi berkenaan.

Najib turun bertemu masyarakat setempat bersama calon BN, Zakaria Hanafi, dan beberapa pemimpin Umno.

Antaranya anggota Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan, dan Ketua Umno Hulu Langat, Johan Abdul Aziz.

Sementara itu mengulas mengenai reaksi PH terhadapnya, Najib berkata beliau hairan dengan sikap PH yang berterusan menyerang peribadinya.

Sedangkan, kata anggota parlimen Pekan itu, beliau bukan lagi pemimpin utama parti, atau calon bagi PRK Semenyih.

"Saya cuma bersama pemimpin BN datang nak bantu jentera pastikan kemenangan.

"Sebenarnya yang orang nak dengar bukan pasal saya, dia nak didengar ialah apa kerajaan boleh buat dan bantu untuk kawasan ini.

"Itu soal pokok, dia dah tersasarlah kalau cakap pasal saya," katanya.

Lihat Komen
ADS