Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kes Syed Saddiq, Papagomo: Tak gaduh, cuma tarik-menarik, kata polis
Diterbitkan:  Feb 20, 2019 2:10 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim mengesahkan siasatan pihaknya tiada pergaduhan serius antara Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 16 Februari lalu.

Sehubungan itu, kata beliau, blogger yang lebih dikenali sebagai Papagomo itu yang direman tiga hari bagi membantu siasatan, akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Kita mendapati tiada pergaduhan sebaliknya hanya salah faham dan berlaku tarik menarik. Dia (Papagomo) boleh dijamin dan kes ini akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Jika kita rasa saksi sudah mencukupi, kita serahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk lakukan proses pendakwaan,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Ahad lalu, Papagomo ditahan di rumahnya di Danau Kota, Setapak, kira-kira jam 3 petang, selepas didakwa terbabit dalam serangan ke atas Syed Saddiq di Kajang semasa penamaan calon pilihan raya kecil Semenyih.

Sebelum itu, Syed Saddiq yang juga adalah ahli parlimen Muar membuat laporan polis bahawa beliau diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari dewan pusat penamaan calon, Sabtu lalu.

Papagomo ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan Syed Saddiq, yang mendakwa dicekak oleh Papagomo dalam laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Sungai Way selepas insiden itu.

Polis membuka kertas siasatan selepas menerima dua laporan susulan insiden sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, MPKj pada jam 10.45 pagi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas selepas anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kajang mendakwa dikasari dan dipukul dari arah belakang.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh, selepas Syed Saddiq mendakwa diserang sekumpulan penyokong parti politik.

Lihat Komen
ADS