Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Kelantan yakin kewibawaan Dr Mahathir
Diterbitkan:  Feb 20, 2019 6:10 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Kerajaan negeri Kelantan hari ini menyatakan keyakinan terhadap kewibawaan kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata dalam menjunjung semangat federalisme, pentadbirannya sentiasa memberikan kerjasama terbaik kepada kerajaan persekutuan khususnya semenjak kepimpinan Mahathir selaku perdana menteri Malaysia yang ketujuh.

"Sehingga kini ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Kelantan sentiasa berhubung terus dengan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri mengikut portfolio masing-masing sebagai salah satu usaha memperkukuh kerjasama antara negeri dan persekutuan.

"Kerajaan negeri Kelantan berkeyakinan dan menaruh kepercayaan kepada kemampuan serta kewibawaan Mahathir sebagai perdana menteri untuk menerajui Malaysia dengan jayanya sehingga penghujung penggal ini sekiranya tiada pihak yang mengganggu atau menghalang proses-proses pentadbiran beliau," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kenyataan itu dilihat sebagai mengulas isu mendakwa dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) mungkin merancang untuk menyingkirkan Mahathir melalui undi tidak percaya di parlimen.

Ia susulan kenyataan Mahathir pada 16 Februari lalu menyatakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan dengannya memberi perakuan untuk tidak menyokong Umno dalam PRK Semenyih. Menurut Mahathir terdapat perakuan bertulis yang dimeterai tandatangan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, kata Takiyuddin perakuan itu cuma contoh dan berkata sokongan PAS jika berlaku keadaan undi tidak percaya kepada perdana menteri.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah menafikan wujud komplot menyingkir Mahathir dan menggesa PAS membuktikan dakwaan itu.

Sementara itu, Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan berkata pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama baik terhadap kerajaan pusat khasnya dalam perkara melibatkan kedaulatan agama Islam, keamanan negara dan kesejahteraan rakyat.

Lihat Komen
ADS