Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengundi boleh pakai baju 'Bossku' di hari mengundi
Diterbitkan:  Feb 20, 2019 8:34 PM
Dikemaskini: 12:34 PM

PRK SEMENYIH | Pengundi - terutama penyokong Najib Razak - boleh membuang undi mereka pada 2 Mac ini dengan memakai baju 'Bossku' yang sinonim dengan bekas perdana menteri itu, jika mereka mahu berbuat demikian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun hari ini menjelaskan kriteria yang boleh menyebabkan pengundi dilarang memasuki pusat mengundi.

"Bagi mana-mana pilihan raya, memakai baju atau membawa masuk apa-apa bahan yang tertera tagline, slogan, motto atau apa-apa perkataan oleh pengundi adalah dibenarkan untuk memasuki pusat mengundi pada hari mengundi.

"Namun ia tidak boleh berbaur hasutan, cercaan, provokasi atau menyentuh sensitiviti kaum yang boleh menggugat keharmonian serta mengganggu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

"Mana-mana pengundi yang gagal mematuhi arahan itu tidak akan dibenarkan masuk ke dalam pusat mengundi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penjelasan itu susulan pertanyaan Najib di Facebook hari ini, sama ada mereka yang memakai baju 'Bossku' akan berdepan kesukaran ketika hari mengundi nanti.

"Saya tidak pasti kerana SPR kini selalu berubah-ubah. Oleh itu, saya harap SPR boleh memberi jawapan terlebih dahulu.

"Jangan nanti ada yang dilarang masuk pada hari itu," katanya.

Walaupun kenyataan Azhar tidak merujuk tagline itu secara khusus, beliau kemudian menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa mereka yang memakai baju yang memaparkan perkataan itu, serta gambar Najib, tidak akan dihalang untuk mengundi.

Lihat Komen
ADS