Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Siasat sampai lubang cacing’ - Nazri sokong penubuhan RCI

Bekas menteri undang-undang Nazri Abdul Aziz menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas dakwaan kepincangan dan salah laku oleh badan kehakiman.

Beliau berkata semua tuduhan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Becker mesti disiasat.

"Siasat sampai lubang cacing," kata Nazri kepada Malaysiakini.

Nazri berkata beliau melihat tuduhan itu secara serius, kerana terdapat beberapa dakwaan oleh Hamid Sultan berlaku semasa beliau adalah menteri undang-undang antara tahun 2008 dan 2013.

Antara tuduhan oleh Hamid Sultan (foto, bawah) dalam afidavitnya yang mengemparkan minggu lalu, adalah hakim-hakim tertinggi negara berkali-kali memanggil panel hakim mahkamah rayuan kes perbicaraan liwat II Presiden PKR Anwar Ibrahim dan memberi arahan tindakan yang perlu dilakukan.

Rayuan pihak pendakwaan dalam perbicaraan liwat II berlangsung antara 2012 dan 2014.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan bahawa kabinet telah bersetuju untuk membentuk RCI untuk menyiasat badan kehakiman.

Hamid dalam afidavitnya juga mendakwa bahawa terdapat seorang bekas menteri yang campur tangan dalam pelantikan jawatan hakim kanan menjelang pilihan raya umum tahun lalu.

Nazri menafikan bahawa beliau adalah individu yang dimaksudkan itu.

"Saya tidak pernah mendengar tentang ini, tetapi ini juga perlu disiasat," katanya.

Ahli Parlimen Padang Rengas berkata afidavit Hamid Sultan perlu dipandang serius kerana beliau adalah seorang hakim yang masih berkhidmat.

"Lazimnya (pendedahan) ini dilakukan selepas seseorang itu bersara ... kerana wujud kebimbangan bahawa pendedahan akan memberi kesan kepadanya.

"Tetapi beliau masih berkhidmat... kita tidak boleh menjadikannya kambing hitam.

"Kita mesti menyokongnya, jika ini tidak disiasat keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman akan terhakis," katanya.

Lihat Komen
ADS