Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno: Pemimpin PAS sentiasa datang
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 12:28 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

PRK SEMENYIH | Pemuda Umno menafikan dakwaan jentera pilihan raya PAS 'ghaib' dan tidak membantu calon BN menjelang hari pengundian seminggu lagi.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pada hakikatnya kerjasama di antara jentera parti itu dengan PAS kini lebih baik berbanding apa yang mereka lakukan di Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini.

"Masyarakat Melayu Islam sekarang melihat kerjasama Umno PAS bermula dari bawah. Bahkan kerjasama ini lebih baik berbanding Cameron Highlands.

"Malah pemimpin utama PAS seperti (Setiausaha Agung PAS) Takiyuddin Hassan sentiasa datang," katanya ketika ditemui ketika program ziarah kasih di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Semenyih pagi tadi.

Sokongan PAS terhadap Umno di Semenyih menjadi tanda tanya apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Abdul Hadi Awang memaklumkan parti itu tidak akan menyokong BN dalam PRK kali ini.

Abdul Hadi sendiri dipetik sebagai berkata, keadaan di Semenyih dan Cameron Highlands adalah berbeza. Antara lain presiden PAS itu berkata di Cameron Highlands BN - yang disokongnya - berdepan calon DAP.

Bagaimanapun kenyataan Mahathir itu dinafikan pemimpin PAS dan Umno yang menyifatkan Pengerusi Bersatu itu membuat tanggapan yang salah.

Bersama di khalayak ramai umum

Ia akhirnya mendorong Takiyuddin tampil memberi penjelan berhubung dakwaan Mahathir.

Jelas anggota Parlimen Kota Bharu itu, PAS membuat ketetapan menyokong kepemimpinan Mahathir selaku Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Sebaliknya sokongan terhadap Umno yang melatakkan calon BN bertanding dalam PRK DUN Semenyih tidak pernah berubah sama sekali.

Asyraf berkata, Umno dan PAS mempunyai peranan masing-masing dalam usaha meraih sokongan pengundi.

Katanya, BN tidak mengadakan banyak ceramah umum yang biasanya dihadiri oleh pelancong politik, sebaliknya lebih memberi fokus kepada usaha untuk bertemu seramai mungkin rakyat.

"BN ambil peluang turun padang mendekati rakyat, ikut strategi BN dekati ahli BN dan PAS akan bergerak di kawasan mereka, sebab PAS lebih mengenali siapa penyokong mereka.

"Manakala di tempat umum kita pergi secara bersama," katanya.

Lihat Komen
ADS