Paling Popular
Terkini

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu surat yang tular di media sosial kini membenarkan anggota parlimen PAS untuk masuk ke sekolah-sekolah dbawah seliaannya.

Menurut surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pendidikan, Dr Muhammad Adli Musa, pihaknya membenarkan hasrat PAS untuk masuk ke premis kerajaan di bawah seliaan (KPM).

"Sukacita dimaklumkan menteri pendidikan tiada halangan mengenai permohonan untuk masuk ke premis kerajaan di bawah KPM bagi tujuan perbincangan bagi menangani sebarang permasalahan yang dihadapi pihak sekolah.

"Perkara ini juga akan dimaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri yang berkaitan, " katanya memetik surat yang bertarikh 4 Disember lalu itu.

Difahamkan surat tersebut sebagai jawapan susulan permohonan oleh Timbalan Ketua Ahli Parlimen PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bagi membenarkan 18 wakil rakyat parti itu masuk ke sekolah-sekolah kerajaan khususnya di kawasan yang diwakili parti itu.

Surat permohonan bertarikh 22 November tahun lalu itu menyatakan, wakil rakyat PAS mahu mendengar permasalahan yang dihadapi oleh sekolah.

"Di samping itu, pihak kami juga bersedia membantu usaha KPM dalam membina modal insan dan kemenjadian pelajar, " kata Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata, mana-mana wakil rakyat pembangkang boleh membuat permohonan jika berhasrat untuk masuk ke sekolah-sekolah kerajaan.

Menurutnya, pekeliling berkaitan sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui pengarah JPN jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian.

Sementara itu Tuan Ibrahim ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan berhubung ketulenan surat tersebut.

"Ya untuk semua MP (PAS)," katanya ringkas.

Turut mengesahkan perkara sama adalah anggota parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

"Ya surat itu benar selepas kami buat permohonan kepada KPM, " jelasnya.

Lihat Komen
ADS