Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan akan tubuh Kumpulan Wang Amanah Nelayan
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Kerajaan akan mewujudkan Kumpulan Wang Amanah Nelayan sebagai inisiatif menjaga kebajikan nelayan yang telah bersara atau nelayan yang sudah tidak berupaya turun ke laut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata inisiatif itu yang masih di peringkat kajian bertujuan membela nasib golongan nelayan berkenaan yang kehilangan punca pendapatan selepas tidak lagi dapat menangkap ikan.

“Inisiatif ini untuk (nelayan) yang telah bersara, yang telah hilang upaya atau yang ditimpa musibah atau menghidap penyakit yang menyebabkan mereka tidak lagi berupaya untuk turun ke laut.

“Kita akan mengenal pasti model yang sesuai untuk membangunkan inisiatif ini dan akan memikirkan bentuk bantuan yang sesuai diberikan kepada nelayan terbabit,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program Hari Bertemu Pelanggan kementeriannya di Kuala Sala, dekat Alor Setar hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata inisiatif itu akan dikendalikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang diharap dapat dilancarkan dalam masa terdekat.

Katanya, pembangunan inisiatif itu akan menggunakan data dan maklumat daripada pelbagai pihak berkaitan antara LKIM, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan persatuan nelayan kawasan.

Sementara itu, Salahuddin berkata nelayan yang tidak lagi menerima elaun sara hidup boleh mengemukakan rayuan kepada persatuan nelayan kawasan masing-masing jika merasakan mereka benar-benar layak menerimanya.

Katanya, terdapat kira-kira 10,000 nelayan yang nama mereka mereka telah dikeluarkan daripada senarai layak mendapat elaun itu, susulan proses pemutihan yang dilakukan keatas lebih 50,000 nelayan seluruh negara.

“Daripada lebih 50,000 dan sekarang tinggal 40,000 yang layak menerima elaun itu, tapi kita tidak nafikan mungkin ada yang kita terlepas pandang, jadi mereka (yang tidak mendapat elaun itu) boleh rayu dan kita akan siasat balik dengan adil,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS