Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RCI: Tiada asas tangguh semua prosiding mahkamah, kata AG
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Semua kes mahkamah akan diteruskan seperti yang dijadualkan dan diputuskan oleh mahkamah seperti biasa walaupun penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat badan kehakiman, kata Peguam Negara Tommy Thomas hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Thomas berkata hujahan bahawa prosiding-prosiding mahkamah dan proses pengadilan seharusnya ditangguhkan sementara menunggu selesainya siasatan oleh RCI tidak mempunyai sebarang asas dari segi fakta mahupun undang-undang.

“Selain itu, memandangkan RCI bakal ditubuhkan tidak lama lagi, dan selepas itu akan memulakan pertimbangannya, diharapkan agar spekulasi orang ramai berhubung perkara ini dapat dihentikan. RCI seharusnya dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjawab yang penting dengan cara yang tenang dan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan pengumuman keputusan Kabinet semalam untuk membentuk RCI bagi membuat penyiasatan terhadap badan kehakiman, kesannya ke atas kesemua prosiding yang masih berjalan di mahkamah-mahkamah telah dipersoalkan.

“Kenyataan ini adalah bagi memperjelas isu tersebut. Sementara RCI menjalankan siasatannya, kes-kes dihadapan semua mahkamah akan berjalan seperti biasa.

Semua kes di semua peringkat mahkamah-mahkamah atasan dan rendah akan terus didengar dan diputuskan oleh pihak mahkamah.

Sebarang permintaan bagi penangguhan sebarang kes, hendaklah dibuat oleh pihak-pihak kepada mahkamah yang berkenaan secara lazimnya.

Sememangnya menjadi suatu fungsi kehakiman yang lazim untuk seorang hakim memutuskan sama ada mana-mana penangguhan seharusnya ditolak atau dibenarkan,” katanya.

Thomas berkata penubuhan RCI tidak bermaksud penangguhan kesemua kes secara automatik atau menyeluruh akan berlaku.

“Harus diingat bahawa penelitian terkini ke atas cabang kehakiman kerajaan bukannya yang pertama kali berlaku dalam sejarah kita. Pada tahun 1988, dua Tribunal telah ditubuhkan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan untuk menyiasat dakwaan salah laku kehakiman terhadap enam orang hakim Mahkamah Agung.

Pada tahun 2007, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video VK Lingam telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam proses lantikan kehakiman oleh sesetengah hakim negara ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam semua keadaan ini, urusan-urusan lazim di kesemua mahkamah berjalan seperti biasa, dan tiada sebarang penangguhan diberikan oleh pihak mahkamah.

“Litigan berhak agar kes-kes mereka didengar dan diputuskan di mahkamah. Para hakim dan peguam bertanggungjawab untuk memastikan proses pengadilan tidak terganggu,” katanya.

Pagi ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menubuhkan RCI mengenai dakwaan salah laku hakim, bagaimanapun, terma-termanya belum lagi diputuskan.

"Terpulanglah kepada Suruhajaya Siasatan Diraja itu kelak untuk menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh hakim berkenaan.

“Kita akan menubuhkan Suruhajaya Siasatan Diraja, terma-termanya akan ditentukan kemudian," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavitnya setebal 63 halaman pada 14 Feb, mendakwa berlaku pelbagai kejadian salah laku kehakiman.

- Bernama

Lihat Komen
ADS