Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP nafi berhibur, berjudi di Turki
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 4:33 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun menafikan beliau dan anggotanya berhibur, berjudi dan menyalah guna dana ketika lawatan ke Turki.

Sebaliknya Fuzi berkata lawatan tersebut merupakan lawatan kerja rasmi dan ditaja sepenuhnya oleh Lembaga Totalisator Malaysia (LPM).

"Pasukan kami ke sana untuk mendapatkan maklumat, berbincang serta belajar mengenai isu Islamic State (IS), menangani jenayah perjudian, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan.

"Selepas ini kita juga akan buat laporan lengkap kepada KDN (Kementerian Dalam Negeri) apakah dapatan hasil lawatan berkenaan.

"Saya tidak tahu bagaimana isu ini tiba-tiba timbul dan dikaitkan dengan sebuah syarikat nombor ramalan yang tiba-tiba muncul," katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Buku Panduan Siasatan Jenayah melibatkan Agen Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ) Sabah Sarawak, di sebuah hotel di Sandakan.

Sarawak Report pada 10 Februari lalu melaporkan seramai 16 pegawai menyertai lawatan itu dan sebanyak RM312,441 mungkin dibelanjakan untuk tiket kapal terbang kelas perniagaan dan tempat penginapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia meluluskan permohonan lawatan kerja itu pada 23 November 2017 dengan jumlah RM184,648 iaitu sebelum beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan.

Sebelum itu Guan Eng dilaporkan berkata, rombongan lawatan kerja itu ditaja oleh Da Ma Cai susulan beberapa gambar Mohamad Fuzi dan beberapa pegawai kanan PDRM di Turki tersebar di laman sosial.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata lawatan tersebut bukan kali pertama dan telah diadakan lebih daripada lima kali sebelum ini.

"Banyak perkara yang disebut dalam dakwaan ditularkan itu tidak benar sama sekali terutama dakwaan kami berhibur, berjudi, bermewah dan menyalahgunakan dana.

"Kami juga mengikut proses yang telah ditetapkan iaitu membuat permohonan kepada agensi pengawal kita iaitu berkaitan antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN),"katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Wan Ahmad Najmuddin Mohd; Timbalan Pengarah JSJ (Risikan / Operasi) Huzir Mohamaed dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah.

Lihat Komen
ADS