Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naib presiden Bersatu ikrar jadi pengerusi ERC bebas

Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) Abdul Rashid Abdul Rahman berkata meskipun beliau merupakan naib presiden Bersatu, dia tetap berikrar untuk menjalankan tugasnya dengan bebas.

"Saya bekerja dengan bebas.

"Meskipun saya ahli Bersatu, saya seorang yang berfikiran bebas dalam jawatankuasa ini.

"Saya mahu pastikan semua pihak yang bertanding mesti mendapat hak yang sama dan saksama (dalam pilihan raya)," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Abdul Rashid sebelum itu menyatakan pandangannya bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bebas daripada tekanan politik dan diberikan kuasa penguatkuasaan.

Beliau turut percaya bahawa semua parti politik perlu tertakluk di bawah SPR yang bebas dan diberikan dana yang sama daripada kerajaan.

Turut hadir pada sidang media itu Pengerusi Eksekutif ERC Amerul Muner Mohammad yang berkata jawatankuasa itu sudah menyusun pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) dan BN bagi mendapatkan maklum balas.

"Kita akan berhubung dengan semua parti politik kerana kita perlu dapatkan maklum balas daripada semua pihak," katanya.

ERC ditubuhkan pada Ogos tahun lalu dan diberi masa dua tahun untuk mengemukakan cadangan kepada kabinet bagi memperbaiki sistem pilihan raya sedia ada.

Abdul Rashid, yang merupakan pengerusi SPR dari 2000 hingga 2008, menyertai parti komponen PH, Bersatu tahun lalu dan bertanding di kerusi DUN Kota Lama Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Beliau tewas kepada calon PAS Anuar Tan Abdullah dalam pertembungan lima penjuru yang turut melibatkan calon BN, PSM dan bebas.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS