Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ERC minta orang ramai cadang perbaiki sistem pilihan raya

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) merayu orang ramai membuat cadangan mengenai cara untuk memperbaiki pelaksanaan pilihan raya di negara ini.

Sehubungan itu, satu sesi melibatkan orang awam akan diadakan di Putrajaya, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Jawatankuasa ini juga akan melancarkan laman webnya sendiri di mana netizen akan dapat mengetengahkan idea mereka.

Bercakap selepas sesi perbincangan awam pertama di Putrajaya hari ini, pengerusi ERC Abdul Rashid Abdul Rahman menekankan pentingnya melaksanakan pembaharuan yang disepakati oleh rakyat.

"Masyarakat mesti bagi kita feedback (Maklum balas). Kita nak dengar apa yang orang kata tentang sistem (pilihan raya) yang kita ada ini.

"Kita tahu kelemahan apa semua, saya pun (pernah) conduct elections (jalankan pilihan raya), tapi masih kita nak orang ramai bagi feedback kepada kita," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Abdul Rashid merupakan pengerusi SPR dari tahun 1992 hingga 2000.

ERC dibentuk pada Ogos lalu dan mempunyai tempoh dua tahun untuk mencadangkan kepada kabinet bagi memperbaiki sistem pilihan raya sekarang.

Sementara itu Abdul Rashid sekali lagi mengulangi bahawa SPR sepatutnya diberikan kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang pilihan raya dan bebas daripada gangguan politik.

"Masa pilihan raya ini SPR mesti diberi kuasa yang penuh.

"Jadi di sebalik semua (pembaruan) ini adalah kuasa. SPR kalau kita masih wujud sebagai suruhanjaya, badan yang akan menguruskan pilihan raya ini akan diberikan kuasa yang penuh dan kuat.

"Tiada siapa yang boleh influence (mempengaruhinya), tidak juga party in power (parti yang berkuasa)," katanya.

Beliau berkata ERC juga membincangkan kaedah untuk membolehkan parti-parti politik didaftarkan dan ditadbir oleh SPR dan bukan lagi oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti sekarang.

Laporan akan didedahkan kepada umum

Sementara itu ERC juga sedang mempertimbangkan agar kerajaan menyediakan dana untuk semua parti politik, sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

"Kita nak tentukan bahawa kerajaan akan membantu parti-parti politik dari segi menampung sedikit sebanyak keperluan kewangan.

"Sebab dalam demokrasi lagi banyak parti politik lagi baik," katanya.

Abdul Rashid berkata kerja-kerja ERC kini berjalan lancar dan akan menyerahkan laporan interim kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelang Oktober tahun ini.

Ditanya sama ada laporan akhir akan dibuka kepada umum, beliau berpendapat bahawa ia merupakan satu kemestian.

"Saya anjurkan supaya kita dedahkan semua apa yang kita recommend (cadangkan).

"Sebab kita nak tentukan demokrasi pilihan raya kita sama level dengan negeri yang dah membangun, demokrasi lebih maju dan diterima oleh masyrakat dunia," katanya.

Anggota majlis tertinggi Bersatu yang bertanding di kerusi DUN Kota Lama di Kelantan pada pilihan raya yang lalu itu berkata rakyat sepatutnya bersyukur kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) memiliki kesungguhan politik untuk memperbaiki sistem pilihan raya pada masa ini.

"Seluruh negara mesti menghargai hakikat bahawa ada keinginan politik untuk berubah. Dulu tak ada," katanya.

Lihat Komen
ADS