Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Alasan calon PH enggan sertai debat hina 2 calon lain
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 5:34 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

PRK SEMENYIH | Alasan calon Pakatan Harapan (PH) tidak menyertai debat pilihan raya kecil (PRK) Semenyih kerana calon BN enggan hadir disifatkan sebagai menghina dua calon lain yang bersetuju menyertai debat itu.

Badan pendesak pembaharuan pilihan raya Bersih berkata demikian dalam kenyataan media memaklumkan pembatalan debat yang dijadualkan 25 Feb ini.

Keputusan itu dibuat selepas hanya dua daripada empat calon bertanding yang bersetuju menyertai debat berkenaan.

"Kami mengambil keputusan bahawa ia tidak bermakna bagi kami untuk meneruskan perbahasan yang akan disiarkan secara langsung di televisyen tanpa penyertaan calon daripada dua gabungan utama di negara ini," kata Bersih dalam kenyataan media hari ini.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini menjelaskan bahawa calon PH Muhammad Aiman Zainali enggan menyertai debat kerana ketiadaan calon BN.

Mengulas perkara itu, Bersih berkata, alasan yang diberikan Syed Saddiq yang pernah menjadi juara debat itu sebagai menghina dua calon lain yang sedia berdebat dengannya.

"Adakah dia cuba mengatakan calon PSM dan calon bebas tidak layak menandinginya? PH seharusnya menunjukkan kepimpinan dengan memberi contoh yang baik dan bukannya menjadikan kengganan calon BN sebagai alasan.

"Sikap ini menjadikan slogan Malaysia baru tidak bermakna apabila mereka memilih cara politik seperti sebelum PRU ke-14," kata Bersih lagi.

Dalam kenyataan itu, Bersih berterima kasih kepada dua calon yang bersetuju sebelum ini iaitu calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas Kuan Chee Heng.

Calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman.

Sementara bagi calon PH dan calon BN Zakaria Hanafi yang enggan menyertai debat berkenaan, Bersih mepersoalkan kelayakan mereka untuk bertanding menjadi wakil rakyat.

"Salah satu kriteria utama untuk menjadi wakil rakyat adalah kemampuan untuk berdebat di Dewan Undangan Negeri.

"Satu lagi kriteria untuk menjadi wakil rakyat adalah keberanian untuk diselidik sebagai penceramah umum dan pendirian berhubung dasar tertentu.

"Sekiranya Muhammad Aiman dan Zakaria menyertai debat itu, mereka berpeluang untuk bercakap kepada sekurang-kurangnya sejuta rakyat Malaysia, termasuk ribuan di Semenyih," kata Bersih.

Bersih menegaskan bahawa debat politik antara calon pilihan raya seumpamanya dapat mengukuhkan demokrasi dan merupakan peluang untuk calon mendedahkan cadangan dasar mereka kepada rakyat.

Calon BN Zakaria Hanafi

Meskipun kecewa, Bersih berikrar untuk terus meneruskan usaha menganjurkan perbahasan di PRK seterusnya di Rantau.

"Kami berharap Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan akan merebut peluang untuk berdebat dalam era baru politik matang untuk BN di bawah pimpinannya dan sekiranya dia sedia mengambil cabaran, PH tidak akan menolak," tambah gabungan itu lagi.

Mohamad merupakan penyandang DUN Rantau dan beliau dijangka bertanding sekali lagi bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

PRK Semenyih akan diadakan pada 3 Mac ini.

Lihat Komen
ADS