Bahang pilihanraya negeri Sarawak makin panas
Bahang pilihanraya negeri Sarawak makin terasa. Dalam kesibukan parti-parti politik menyusun strategi dan invidu tertentu melobi untuk menjadi calon, Jabatan Penerangan Sarawak tidak ketinggalan menjalankan kempen perang sarafnya.
Bahang pilihanraya negeri Sarawak makin terasa. Dalam kesibukan parti-parti politik menyusun strategi dan invidu tertentu melobi untuk menjadi calon, Jabatan Penerangan Sarawak tidak ketinggalan menjalankan kempen perang sarafnya.
Jabatan itu mengumumkan hari ini akan mengedarkan buku kecil dan poster untuk memberi maklumat mengenai pusat-pusat mengundi dalam usaha menggalakkan para pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
Pengarah Penerangan Sarawak Paulus Gumbang berkata Buku Panduan Pengundi dan poster itu akan diedarkan di setiap rumah panjang dan kampung di semua 71 kawasan pilihan raya negeri sebagai sebahagian daripada persiapan untuk pilihan raya yang bakal diadakan.
"Ia mengandungi maklumat penting, seperti tarikh dan tempat untuk mengundi, dan akan diedarkan kepada orang ramai setelah Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis taklimat khas mengenai Pusat Maklumat Rakyat (PMR) dan Format Sistem Maklumat Politik (Sismap) bagi zon Sarawak di KUching.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata jabatan itu juga akan membantu kerajaan dalam pilihan raya negeri akan datang dengan menugaskan 486 pegawainya di seluruh negeri untuk menasihatkan rakyat supaya keluar mengundi.
Dasar kerajaan
Pada masa ini Sarawak mempunyai sebanyak 945,000 pengundi berdaftar berbanding 815,932 dalam pilihan raya negeri yang lalu yang diadakan pada 2001.
Mengenai PMR, Paulus berkata kesemua 39 Pejabat Penerangan di daerah dan daerah kecil dan tiga biro -- Kuching, Sibu dan Miri -- telah ditukarkan menjadi PMR untuk menyebarkan maklumat mengenai dasar-dasar dan program kerajaan kepada rakyat.
Sebagai contoh, petani yang berhasrat untuk memohon subsidi pertanian boleh melawat pusat-pusat itu bagi mendapatkan borang permohonan manakala pelajar yang berhasrat mendapatkan pinjaman dan biasiswa juga boleh menggunakan pangkalan data mengenainya, katanya.
Beliau berkata pegawai penerangan perlu berfikiran terbuka dan mengambil inisiatif untuk mengumpulkan maklumat daripada bergantung kepada data rasmi dalam membangunkan pusat-pusat berkenaan.
Isu semasa berkaitan kepentingan nasional dan antarabangsa, termasuk mengenai pendidikan, kesihatan, ekonomi, pelancongan, pertanian, sains sosial, pertahanan dan keselamatan selain kemudahan kewangan ialah antara pangkalan data yang boleh digunakan oleh orang ramai.
Orang ramai juga boleh melawat portal jabatan itu di alamat http://www.pmr.penerangan.gov.my .

