Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sembang Santai Bossku bukan lagi dalam UKM
Diterbitkan:  Feb 22, 2019 9:49 AM
Dikemaskini: 2:48 AM

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memindahkan lokasi sesi Sembang Santai Bossku yang sepatutnya diadakan di Sudut Pidato Pusanika pusat pengajian terbabit hari ini.

Naib Canselor UKM Mohd Hamdi Abdul Shukor semalam dipetik sebagai berkata program berkenaan tidak dapat dijalankan seperti rancangan awal.

Katanya hal itu dimaklumkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UKM dan bahagian itu sepatutnya mempunyai maklumat lebih lanjut.

"Saya rasa program itu ditangguhkan ke tarikh yang lebih selesa [...] berkenaan bila, tarikh itu kena rujuk kepada bahagian hal ehwal pelajar," katanya seperti dipetik Malaysia Gazzette.

Mohd Hamdi berkata program itu dianjur dan dikendalikan oleh penuntut, justeru pihak pengurusan UKM tidak terlibat.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelajar UKM untuk mendapatkan komen mereka.

Sementara itu Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UKM, Muhammad Izzat Ebrahim, berkata pihaknya sedih dengan penundaan program berkenaan.

"Berita ini bukan khabar yang menggembirakan kerana kebanyakan mahasiswa ingin berjumpa dengan mantan perdana menteri Malaysia keenam Najib Razak untuk berkongsi idea dan kupasan semasa berkaitan mahasiswa hari ini," katanya.

Menurut Muhammad Izzat program tersebut diatur sebagai langkah menyahut seruan kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa.

"Saya sebagai wakil Majlis Perwakilan Pelajar UKM merancang untuk melaksanakan program Sembang Santai Bossku yang membincangkan isu-isu masa kini mahasiswa seperti kad debit, PTPTN, MyBrain dan sebagainya.

"Permohonan program dilaksanakan mengikut prosedur seperti yang dikehendaki pihak universiti, seterusnya mendapat surat kelulusan untuk tindakan selanjutnya seperti tempahan tempat di Pusanika," katanya dalam satu kenyataan.

Dia kemudian memaklumkan Najib akan bersembahyang bersama penuntut UKM sebelum mengadakan pertemuan di Cartel Coffeeshop di Bandar Baru Bangi.

Program itu juga dijalankan sejam lebih awal hari ini, iaitu pada 2.30 petang.

 

Lihat Komen
ADS