Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur ceramah Zakir tak dibenar guna Stadium Bandaraya

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dilaporkan menolak permohonan sebuah pertubuhan untuk menggunakan stadium di George Town bagi mengadakan ceramah umum Dr Zakir Naik.

Melalui sepucuk surat bertarikh 13 Feb, Pengarah Khidmat Kemasyarakatan MBPPP, Rashidah Jalaludin, memberitahu pihak berkuasa tempatan itu tidak dapat mempertimbang permohonan tersebut.

Ceramah umum itu dirancang diadakan antara 8 hingga 11 malam pada 14 Jun ini. Permohonan menyewa Stadium Bandaraya itu dibuat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa Pulau Pinang (Ipsi).

Malaysiakini difahamkan Rashidah sedang menghadiri mesyuarat dan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komennya.

Sementara itu sumber Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) berkata stadium tersebut baru saja menjalani proses naik taraf dan selalunya digunakan untuk aktiviti sukan.

"Ia tidak sesuai untuk program ceramah," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada Zakir dilarang mengadakan ceramah di Pulau Pinang, sumber itu berkata, setakat pengetahuannya tiada arahan seumpama itu dikeluarkan.

Malaysiakini sedang menunggu komen daripada Ipsi. Difahamkan presidennya Kamaruddin Abdullah kini berada di Terengganu.

Untuk rekod pada 11 Jan lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan tidak mengenakan larangan kepada Zakir selagi pendakwah dari India itu mematuhi garis panduan ditetapkan.

Lihat Komen
ADS