Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalau PH kalah usah salahkan PAS, kata Hadi
Diterbitkan:  Feb 22, 2019 1:02 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

PRK SEMENYIH | PAS mendakwa jentera DAP dan PKR dilihat tidak bertugas bersungguh-sungguh membantu calon Bersatu kali ini.

Juster kata Abdul Hadi Awang PH diminta tidak menyalahkan PAS jika calon mereka, Muhammad Aiman Zainali, kalah kepada calon BN - yang turut mendapat sokongan PAS - Zakaria Hanafi.

“Jangan salahkan PAS jika Bersatu kalah di Semenyih kerana PKR dan DAP tak turun kerja,” katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Abdul Hadi ditemui media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Rusila, Marang hari ini.

Anggota Parlimen Marang itu sebelum ini mengakui keadaan PRK Semenyih adalah berbeza berbanding Cameron Highlands bulan lalu.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu pula mendakwa Abdul Hadi dan PAS bersetuju untuk tidak menyokong Umno dan BN dalam PRK kali ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang mengiringi Abdul Hadi menemui Mahathir di Kuala Lumpur menafikan dakwaan tersebut.

Pemimpin Umno pula bertegas bahawa kerjasama PAS dan parti itu jauh lebih kukuh berbanding di Cameron Highlands.

Ditanya sama ada Abdul Hadi akan turun ke Semenyih untuk berkempen, beliau berkata, ia belum diputuskan lagi dan bergantung kepada keadaan.

Katanya beliau juga sibuk dengan beberapa urusan di luar dan dalam negara.

Abdul Hadi turut ditanya mengenai sokongan yang dijanjikan PAS jika Mahathir berdepan undi tidak percaya - dakwaan yang dinafikan semua parti komponen PH.

Katanya PAS memang mendapat maklumat mengenai 'rancangan' tersebut.

“Kalau tak ada angin, pokok tak bergoyang. Kita ada maklumat sebab itu kita bagi sokongan,” katanya yang memang gemar berkias.

Lihat Komen
ADS