Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon PH sambut hari jadi sambil kempen
Diterbitkan:  Feb 22, 2019 1:43 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Sambutan hari jadi Muhammad Aiman Zainali, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang jatuh pada hari ini mungkin sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Antara acara yang mengisi hari istimewa Muhammad Aiman yang genap usia 30 tahun itu ialah turun padang bertemu masyarakat Cina di pasar pagi Kampung Baru Semenyih di Semenyih dalam siri kempennya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada 2 Mac ini.

Ramai dalam kalangan mereka kelihatan gembira bertemu pemuda itu malah ada yang menyanyikan lagu hari jadi dalam bahasa Melayu dan Cina buat Muhammad Aiman apabila mereka mengamati risalah kempen calon tersebut yang tertera tarikh lahirnya.

Ketika ditemui pemberita, jurutera muda itu berkata ini sesi lawatan keduanya khusus untuk bertemu masyarakat Cina dalam minggu ini dan beliau yakin sokongan mereka memihak kepada PH.

Beliau juga berkata rata-rata masyarakat Cina yang mewakili kira-kira 17 peratus pengundi di Semenyih yang ditemuinya berharap agar masalah setempat diberikan perhatian.

“Kebanyakan isu yang dibangkitkan lebih kepada infrastruktur seperti jalan raya, keadaan bangunan pasar dan (sekiranya PH menang PRK ini) kita akan minta pihak berkenaan turun melihat masalah mereka dan meminta ia selesaikan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru berkenaan, Stanley Minjoot, 72, berharap kerja pembesaran jambatan berdekatan kawasan perumahan mereka dapat dipercepat.

“Kerja pembesaran jambatan itu kalau tak silap saya bermula sekitar akhir tahun lepas dan telah menyebabkan kesesakan jalan di kampung ini. Banyak lori yang melalui kampung kami,” katanya.

Seorang penduduk kampung yang hanya ingin dikenali Cikgu Hiew, 70, berharap bakal wakil rakyat nanti akan dapat menyelesaikan masalah jalan rosak, lampu jalan yang tidak cukup dan longkang tersumbat yang sekian lama membelenggu penduduk Semenyih.

Ditanya ciri-ciri calon yang akan dipilihnya pada hari mengundi, Cikgu Hiew berkata: ”Calon itu mesti boleh dipercayai, boleh buat kerja, boleh dengar apa yang pengundi harapkan. Itu ciri-ciri yang kita mahukan bagi wakil rakyat kita.”

Pada PRK itu, Muhammad Aiman berdepan cabaran Zakaria Hanafi (Barisan Nasional); Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bahtiar Mohd Nor, 57, daripada PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

- Bernama

Lihat Komen
ADS