Rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah AS$102.3 bilion
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$102.3 bilion, pada 15 Feb, 2019, lebih tinggi berbanding US$102.1 bilion yang dicatatkan pada 31 Jan, 2019.
“Paras rizab itu memadai untuk membiayai 7.3 bulan import tertangguh dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” kata bank pusat dalam satu kenyataan hari ini.
Komponen utama rizab antarabangsa, pada 15 Feb, 2019, terdiri daripada rizab mata wang asing berjumlah AS$96.3 bilion, paras rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$900 juta), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$1.6 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.4 bilion).
BNM berkata aset-aset termasuk emas dan tukaran asing manakala rizab lain termasuk Hak Pengeluaran Khas, yang berjumlah RM423.12 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM3.39 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.66 billon), pinjaman dan pendahuluan (RM7.07 bilion), tanah dan bangunan (RM4.17 bilion) dan aset-aset lain (RM10.94 bilion).
Modal dan keupayaan terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM135.21 bilion), mata wang dalam edaran (RM110.86 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM157.08 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM14.36 bilion), deposit-deposit lain (RM2.86 bilion), kertas Bank Negara (RM20.08 bilion), peruntukan Hak Pengeluaran Khas (RM7.74 bilion) dan liabilliti-liabiliti lain (RM2.06 bilion).
- Bernama

