Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Uncle Kentang janji nak bela nasib perokok
Diterbitkan:  Feb 22, 2019 4:24 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

PRK SEMENYIH | Ketika calon lain berkempen dengan pelbagai janji dan dasar negara, Uncle Kentang mengambil pendekatan lebih sederhana.

Calon bebas itu memilih untuk menangani isu larangan merokok di tempat-tempat makan awam.

Kata Kuan Chee Heng - nama sebenar Uncle Kentang - penguatkuasaan larangan merokok itu menjejaskan perniagaan restoran serta kedai makan.

"Kedai-kedai kopi separuh mati. Peniaga rugi. Petang-petang biasanya orang Cina suka ke kedai kopi untuk sembang-sembang.

"Orang berumur macam saya suka berjumpa kawan-kawan. Mereka suka merokok sambil minum-minum, merokok sambil ambil bir," katanya seperti dipetik The Star Online hari ini.

Justeru katanya satu ruang khas untuk perokok wajar disediakan di tempat-tempat makan.

Kuan, 56, bukanlah ahli politik namun dia memang dikenali ramai kerana pelbagai kerja amal yang dilakukannya tanpa melihat perbezaan agama, bangsa, budaya dan seumpamanya.

Gigih membantu orang kurang berkemampuan, PRK Semenyih menyaksikan Kuan menyertai persaingan untuk cuba menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Sebelum rokok 'mati'

Walaupun bukan calon yang dianggap boleh mencabar BN dan PH, penampilan Kuan selalu mencuri perhatian ramai.

Kata Kuan dia sendiri bukanlah perokok, malah menyokong langkah kerajaan mengekang amalan berkenaan yang banyak menyebabkan masalah kesihatan.

Namun katanya pelaksanaan arahan itu menjejaskan banyak perniagaan.

"Sebelum rokok 'mati' lagi peniagaan yang akan `mati`. Kalau itu yang berlaku siapa yang menderita?

"Kita sokong larangan merokok, tapi berilah sedikit kelonggaran," katanya.

Mengikut peraturan yang dikuatkuasakan pada 1 Jan lalu, kawasan larangan merokok meliputi jarak 3 meter dari premis makanan.

Perintah itu dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang berada di bawah Akta Makanan 1983.

Larangan itu meliputi semua restoran, kedai kopi dan pusat penjaja, termasuk yang berada di kawasan terbuka.

Untuk tempoh enam bulan pertama kerajaan tidak akan mengeluarkan saman kepada mana-mana pesalah sebaliknya akan menekankan aspek kesedaran terlebih dulu.

Selepas tempoh itu seseorang yang ditangkap kerana merokok di kawasan larangan boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun, manakala operator restoran atau kedai makan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara setahun.

Lihat Komen
ADS