Najib: Kenapa UKM boleh terima Kit Siang, saya tidak?
Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mempersoalkan asas di sebalik keputusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menangguhkan program yang dihadiri beliau.
Sebaliknya kata Najib, universiti berkenaan menyambut baik kehadiran Lim Kit Siang ke kampus universiti itu di Bangi tahun lepas.
Membandingkan dirinya dengan pemimpin DAP itu, Najib berkata beliau memberikan lebih banyak sumbangan kepada UKM berbanding Kit Siang.
"Kalau mereka boleh terima Kit Siang, kenapa tak boleh terima saya. Kalau ikut pada jasa, jasa saya lagi banyak pada UKM. Siapa tubuh UKM?
"Tun Razak yang tubuh UKM. Siapa beri peruntukan pada UKM selama ini? Saya beri peruntukan pada UKM. Tapi saya dinafikan layanan yang sepatutnya saya terima atas dasar keterbukaan," katanya semasa program perbincangan dengan pelajar UKM yang diadakan di sebuah kafe di Bandar Baru Bangi hari ini.
Acara itu dipindahkan ke kafe berkenaan selepas pengurusan UKM menunda program yang dijadualkan dihadiri Najib di universiti ini petang ini.
Terdahulu dalam acara itu Najib juga mempersoalkan janji Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk memberikan kebebasan akademik selepas UKM menunda program berkenaan
"Satu kenyataan yang munafiq, sebenarnya mereka nak batalkan pertemuan saya dengan para pelajar walhal menteri pelajaran telah kata secara terbuka dalam kenyataan rasmi tahun sudah bahawa kita telah melangkah ke era reformasi sesuai Malaysia Baru," katanya.
Timbalan Naib Canselor (hal ehwal pelajar dan alumni) UKM, Roslee Rajikan memberitahu The Star acara itu ditangguhkan atas alasan keselamatan, dan Kementerian Pendidikan tidak terlibat dalam keputusan itu.
'Maszlee buruk siku'
Sementara itu, dalam program berkenaan hari ini, Najib juga ditanya pihak media mengenai layanan serupa yang diberikan kepada pemimpin pembangkang ketika beliau berkuasa.
Menjawab soalan tersebut, Najib berkata Akta Universiti dan Universiti Kolej (Auku) pada masa itu menghalang aktiviti sedemikian.
"Ya pada masa tu kita tak pinda Auku lagi. Jadi sekarang ni dah dipinda. Jadi bebaslah, tapi tak ada apa. Tapi kenyataan perubahan telah dibuat, akujanji baru, dasar baru, keterbukaan.
"Dr Maszlee sendiri kata dia alu-alukan pemimpin Umno dan PAS, jadi saya pemimpin Umno.
"Mana-mana ahli politik pembangkang, maksudnya kitalah. Jadi saya orang kata menerima pelawaan menteri pelajaran, tapi dia buruk siku pula," katanya.

