Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zakir Naik perlu buat permohonan untuk ceramah di P Pinang

Sebagai pendakwah luar, Dr Zakir Naik perlu membuat permohonan jika ingin mengadakan program di Pulau Pinang, kata Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Zakiyuddin berkata ia merupakan syarat yang dikenakan terhadap semua penceramah luar, tanpa mengira agama.

Setakat ini Zakir atau pihak penganjur yang merancang untuk mengadakan program beliau belum membuat sebarang permohonan, katanya.

"Mungkin penganjur mahu mendapat dan mengesahkan tempat untuk ceramah (Zakir).

"Tetapi sebaik permohonan dibuat, kami akan menimbangkan sama ada mana-mana penceramah dibenarkan untuk membuat program di sini," katanya kepada Malaysiakini.

Kami akan melihat kelayakannya, kaedah dan pengisian ceramah, dan hanya apabila kita merasakan semua itu dapat diterima, kita akan memberi kebenaran," katanya lagi.

Ditanya sama ada kerajaan negeri mengeluarkan larangan untuk Zakir mengadakan program di sana, beliau berkata exco tidak membincangkan perkara itu.

Zakiyuddin mengulas penolakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang terhadap permohonan Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa, Pulau Pinang (IPSI) untuk menggunakan Stadium Bandaraya di George Town untuk ceramah Zakir pada Jun ini.

IPSI sebelum ini menyerahkan permohonan dengan MBPP untuk menempah stadium dari 14 Jun bermula pukul 8 malam hingga 11 malam bagi anggaran kehadiran 10,000 hingga 15,000 orang.

Selain daripada tempahan oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bermula Februari sehingga Julai, MBPP juga berkata stadium itu perlu menjalani rutin penyelenggaraan agar stadium itu sentiasa bersedia untuk acara sukan.

Presiden IPSI Kamaruddin Abdullah enggan mengulas perkara itu.

Sementara itu, Zakiyuddin berkata pihak berkuasa lebih cenderung terhadap penceramah yang dapat mempromosikan keamanan dan keharmonian, bukan sahaja antara agama tetapi kalangan umat Islam.

"Kami akan menilai setiap penceramah dengan cermat untuk memastikan ceramah mereka bersifat aman dan harmoni.

"Selagi Zakir dan IPSI dapat mematuhi undang-undang dan syarat kita, kita akan beri kebenaran. Tetapi mereka perlu ingat bahawa mereka tidak boleh mencetuskan konflik antara agama, serta dalam komuniti Muslim," katanya yang juga adun Pinang Tunggal.

Zakir yang berasal dari India kini tinggal di Putrajaya dan mempunyai status penduduk tetap.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata kerajaan tidak akan mengenakan sebarang larangan terhadap programnya selagi ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Kaedah ceramah Zakir - antaranya perbandingan antara agama - tidak disenangi sesetengah pihak, dan beliau sebelum ini dilaporkan dikehendaki kerajaan India atas dakwaan ucapan kebencian.

Bagaimanapun beliau berulang kali menafikan dakwaan itu dan berjanji tidak akan menggugat keharmonian mahupun melanggar undang-undang sepanjang tinggal di Malaysia.

Lihat Komen
ADS