Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dasar PSM menarik, tapi pengundi ada keutamaan lain

PRK SEMENYIH | Di luar sebuah bangunan kedai biasa di Semenyih, kelihatan beberapa kenderaan dihiasi bendera dan pelekat. Ia menjadi tanda kedai itu adalah pusat operasi kempen Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ia terletak di tingkat atas bangunan kedai itu. Di Semenyih, PSM memulakan kempen dengan pengisytiharan aset calonnya, Nik Aziz Afiq Abdul.

Nik Aziz yang mengusahakan perniagaan pusat urut berikrar untuk menghapuskan politik perkauman dan turut mendedahkan asetnya - simpanan sebanyak RM1,000.

Antara janji lelaki berusia 25 tahun itu jika dipilih menjadi adun Semenyih adalah memperjuangkan perumahan mampu milik, penjagaan kesihatan, meningkatkan pengangkutan awam, penghapusan tol lebuh raya dan pilihan raya tempatan.

Tidak seperti Pakatan Harapan (PH) dan BN, PSM tidak menganjurkan program yang gah atau penggunaan VIP sebagai daya penarik kempen mereka.

Sebaliknya, mereka percaya bahawa dasar bercakap adalah strategi terbaik dalam berkempen. Ia menjelaskan pendekatan "satu isu satu hari" yang digunapakai mereka.

Antara isu yang telah dibangkitkan adalah isu tol dan pelaksanaan skim insurans kesihatan mySalam oleh kerajaan PH yang disifatkan hanya memberi manfaat kepada sebuah syarikat insurans swasta, bukannya rakyat.

Mereka juga mengadakan sidang akhbar untuk membangkitkan kos perumahan yang tinggi dan mengkritik kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai keupayaan rakyat Malaysia membeli rumah. 

Jauh dengan pengundi?

Untuk menguji keberkesanan mesej yang dibawa PSM, Malaysiakini menemubual beberapa pengundi yang ditemui di sebuah pasar malam di Bandar Sri Putra ketika pemimpin PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj turun berkempen.

Jeyakumar adalah seorang doktor dan bekas anggota parlimen Sungai Siput selama dua penggal.

Ketika kunjungan itu, beliau antara lain membangkitkan isu MySalam. Kebanyakan yang berada di situ mengambil risalah yang diedarkan tetapi tidak ramai yang kekal untuk mendengar penjelasannya.

Di Semenyih, kebanyakan pengundi yang ditemui Malaysiakini mengenali PSM memandangkan S Arutchelvan beberapa kali bertanding kerusi itu.

Poster kempen Nik Aziz juga dengan jelas memaparkan gambar Arutchelvan.

Seorang peniaga pasar malam yang hanya ingin dikenali sebagai Zalilah memberitahu Malaysiakini bahawa dia kenal Arutchelvan namun merasakan topik yang dibawa oleh PSM pada malam itu tidak menarik perhatiannya.

"Semenyih sangat dekat dengan Kajang. Terdapat banyak klinik di sana. Saya tak fikir kemudahan penjagaan kesihatan menjadi isu.

Zalilah

"Masalah utama yang kita hadapi ialah peningkatan kos sara hidup. Harga barangan semakin meningkat sepanjang masa. Sebagai peniaga, kita perlu berbelanja lebih banyak untuk membeli bahan-bahan, "katanya.

Seorang pengundi yang hanya ingin dikenali sebagai Fareez, 32, memberitahu Malaysiakini bahawa langkah pengisytiharan aset oleh calon PSM sebelum pilihan raya tidak akan mempengaruhi bagaimana dia mengundi.

Menyifatkan dirinya sebagai penyokong Umno, Fareez memberitahu dia tidak mengundi pada PRU lalu kerana tidak menyukai Najib Razak.

"Najib kini telah dituduh di mahkamah. Umno telah dibersihkan, "katanya sambil menambah dia akan mengundi calon BN yang merupakan pemimpin cawangan Umno tempatan.

Malaysiakini juga menemuramah beberapa pembeli secara rawak untuk melihat sama ada mereka bersetuju bahawa isu yang dibawa oleh PSM memang penting kepada penduduk tempatan.

Hisham

Seorang pengundi yang hanya ingin dikenali sebagai Hisham, 48, berkata isu perumahan yang mahal memang dekat dengan dirinya tetapi itu belum memadai untuk membuatkannya mengundi PSM.

Hisham tidak mendedahkan siapa yang akan dipilihnya, tetapi percaya kerajaan PH perlu diberi lebih masa untuk membuktikan kebolehannya mentadbir negara.

Tokoh memang penting

Antara strategi kempen SPM adalah mengingatkan para pengundi berkenaan pencapaian mereka sebelum ini, termasuk dalam membantu bekas pekerja ladang di DUN itu mendapat rumah percuma sebagai pampasan.

Seorang penduduk, A Jeya, 66, menyokong pendirian PSM berkenaan dasar dan tahu akan aktivisme Arutchelvan melibatkan bekas pekerja ladang.

Dia bagaimanapun berpendapat personaliti yang terlibat dalam PRK lebih penting daripada dasar dan pendirian yang dipegang calon bertanding.

Bagi Jeya, mengundi PH bermakna mengundi Perdana Menteri Dr Mahathir dan dia berjanji akan berbuat demikian.

"Saya akan mengundi Mahathir kerana dia sangat tu dan pemimpin berpengalaman yang akan memimpin negara ini dengan baik,” kata Jeya sambil mengakui dia sebenarnya tidak tahu nama calon PH.

PSM lihat peluang

Jeya berkata lagi, dia percaya PSM mempunyai penyokong di kalangan pengundi India selepas bertahun-thun membantu pekerja ladang di sana.

Menurut rekod undi, pencapaian terbaik PSM adalah di pusat daerah mengundi dengan jumlah pengundi India yang signifikan, seperti Bandar Rinching Seksyen 1 to 4, Semenyih Indah and Tarun.


BacaSemenyih 'medan dakwah' PSM didik masyarakat


Bagaimanapun, masyarakat itu hanya merangkumi 14 peratus daripada 54,503 pengundi berdaftar di DUN itu. Malah, jumlah undi yang diraih parti itu di tiga pusat daerah mengundi tersebut tidak melebihi 10 peratus.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Jeyakumar realistik dengan peluang PSM dalam PRK kali ini dan tidak menjangkakan mereka akan menang.

Bagaimanapun, katanya, penyertaan dalam PRK memberi peluang kepada mereka untuk memberi pemahaman berkenaan idealisme Sosialisme mereka dan mengubah pemikiran orang ramai berkenaan isu dasar seperti kesihatan, pendidikan, perumahan, gaji dan pengangkutan awam.

Pengundi Semenyih akan membuat pilihan mereka pada 2 Mac ini. Selain Nik Aziz, tiga lagi calon yang bertnding adalah Zakaria Hanafi (BN), Muhammad Aiman Zainali (PH) dan Kuan Chee Heng (Bebas).

Lihat Komen
ADS