Pakatan Harapan (PH) Sarawak pada mesyuarat pertamanya di Kuching hari ini membincangkan strategi menghadapi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri akan datang, kata pengerusinya Chong Chieng Jen.

Mesyuarat itu disertai oleh wakil Bersatu, DAP, PKR dan Amanah.

"Ia merupakan mesyuarat yang cukup berhasil dalam pembentangan pelan dan strategi,” kata Chong pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu.

Chong juga mengumumkan mesyuarat tersebut telah membentuk sekretariat PH Sarawak, dengan dua wakil dari setiap parti komponen akan duduk di sekretariat itu.

Beliau berkata PH Sarawak akan mengadakan konvensyen pertamanya dalam masa dua bulan di Kuching, tetapi tarikh dan tempat akan diputuskan kemudian.

Mengenai peruntukan kerusi dalam kalangan empat parti komponen, Chong berkata rundingan mengenainya sedang berjalan.

Semua calon akan bertanding sebagai calon PH, katanya.

Chong berkata mungkin tidak ada pertandingan tiga penjuru bagi setiap kerusi dalam pilihan raya kali ini.

"Apa yang lebih penting ialah empat parti kita bekerja sebagai satu pasukan.

“Fokus dan keutamaan kita ialah bekerja sama dan membantu melaksanakan dasar kerajaan pusat demi faedah rakyat Sarawak," tambah Chong.

Beliau berkata terdapat lebih 20 kementerian dan setiap kementerian mempunyai banyak dasar yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

- Bernama