Terus berunding dengan kerajaan Singapura tentang pembinaan sebuah jambatan baru menggantikan Tambak Johor tidak bererti Malaysia lemah atau berlembut, tegas Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

" Pendekatan yang diambil oleh Malaysia untuk berunding jangan disalah tafsir. Kita mempunyai strategi dan pemikiran tertentu," katanya kepada pemberita pada satu majlis di Felda Air Tawar 2 di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Syed Hamid berkata kerajaan telah membuat persediaan yang cukup dan telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk kontraktor projek, Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) mengenai reka bentuk jambatan itu.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata matlamat perbincangan dua hala itu adalah untuk menentukan Malaysia tidak rugi.

"Anggaplah ia suatu projek Malaysia. Saya tidak berani untuk berbuat apa-apa tanpa mendapat sebarang mandat," katanya.

Malaysia telah membuat keputusan untuk meneruskan pembinaan separuh daripada jambatan menggantikan Tambak Johor yang terletak dalam kawasan Malaysia tanpa menunggu hasil rundingannya dengan Singapura.

Kontraktor projek mengesahkan ia telah diarah oleh Jabatan Kerja Raya pada 18 Januari lepas untuk memulakan kembali kerja kajian tanah dasar laut di Selat Tebrau yang tertangguh sejak 2004.

Semalam Syed Hamid dan rakan sejawatannya dari Singapura, George Yeo, serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar kedua-dua negara bertemu dalam satu kejohanan sukan tahunan yang diadakan di republik itu.

Beliau menjelaskan bahawa perbincangan dengan republik membabitkan soal pembinaan jambatan yang penuh dan bukannya separuh sahaja.

Kedaulatan Malaysia

Pembinaan jambatan separuh, katanya, tidak perlu dibincangkan dengan Singapura kerana ia dilakukan dalam wilayah perairan dan tanah milik Malaysia.

"Kerja yang perlu kita buat di dalam kawasan kita, kita buat kerana ia di dalam kawasan kita. Ia adalah hak dan kedaulatan Malaysia, dan Singapura mengiktirafnya. Mengapa kita mahu orang lain untuk turut serta terbabit dalam kerja yang dilakukan di dalam perairan dan tanah milik kita," katanya.

Syed Hamid berkata Singapura berpendapat ia tidak melihat sebarang keperluan untuk membina jambatan yang baru bagi menggantikan Tambak Johor untuk menghubungkan republik itu dengan tanah besar Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, menurut beliau, berdasarkan semangat kejiranan, Singapura bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia merealisasikan pembinaan jambatan baru itu tetapi ia mahukan satu bentuk pulangan bagi persetujuannya itu.

"Ia mahukan perkara-perkara seperti penjualan pasir dan kebenaran agar pesawat pejuang tenteranya menggunakan ruang udara Johor bagi tujuan latihan ketenteraannya," katanya.

Syed Hamid berkata permintaan Singapura mengenai pulangan kepada republik itu mempunyai sensitivitinya tersendiri dan pegawai kedua-dua negara akan terus berbincang di Singapura sama ada akhir bulan ini atau awal Mac.

Katanya Singapura memahami bahawa rundingan dua hala yang telah berlanjutan selama beberapa tahun tidak boleh kekal sebegitu untuk selama-lamanya dan mahu ia disegerakan.