Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MUET untuk pelajar SPM hanya tambah beban - Maszlee

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek menolak cadangan agar Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dimasukkan dalam modul pembelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bukan dijadikan peperiksaan berasingan.

Tegas Maszlee, ini kerana cadangan tersebut hanya akan menambah beban pelajar.

“SPM dengan MUET dua benda yang berbeza, sebab dalam SPM pun dah ada Bahasa Inggeris. Macam MUET ini ia periksa kelayakan, macam apa yang kita lihat ia ada A Level, O Level tetapi masih ada International English Language Testing System (IELTS).

“Jadi, kelayakan untuk masuk universiti itu lain. Ia tak sama dengan periksa-periksa tahunan lain sebab IELTS dan juga periksa kelayakan lain MUET pun bukan setahun sekali saja.

“Nanti bertambah-tambah pula (beban), kesian pula dekat budak-budak,” katanya selepas menutup Seminar Pendidikan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Media hari ini melaporkan cadangan agar MUET diserap ke dalam SPM sebagai persiapan awal bagi memantapkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sebelum melangkah ke universiti.

Siswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syafia’tun Sadon berkata ini kerana sistem pendidikan Bahasa Inggeris di negara ini belum mencapai standard dan kompenan yang diuji dalam subjek Bahasa Inggeris SPM tidak meliputi kesemua aspek seperti MUET.

Sementara itu ditanya berhubung penangguhan program Najib Razak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, Maszlee enggan mengulas lanjut, sebaliknya beliau hanya mengucapkan tahniah kepada bekas perdana menteri itu.

“Dia cakap tu di mana? Dekat UKM, okey lah tu. Jadi, kita ucapkan tahniahlah,” katanya ringkas dan berlalu pergi meninggalkan wartawan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS