Warga pendidik diseru berganding bahu bagi memupuk etika dan perasaan malu khususnya di kalangan pelajar Melayu sekiranya berbuat kesalahan.

Dr Maszlee Malik berkata, hasrat tersebut disuarakan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau baru dilantik sebagai menteri pendidikan.

“Pertamanya, nilai semakin terhakis. Yang paling Tun risau sekali, dia kata ada yang berjaya tetapi hilang nilainya. 

"Pecah amanah, rasuah, curi duit orang, samun duit orang kemudian tak tahu malu. 

"Malu apa bossku,” katanya yang dipercayai merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang kini popular dengan slogan berkenaan.

Maszlee berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pendidikan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata perdana menteri mahu masyarakat hari ini menjadikan rakyat Jepun sebagai contoh dalam membudayakan sikap malu dan mengamalkan etika yang tinggi.

“Tun kata bagi orang Jepun yang bukan Islam mereka akan malu mahu ambil rasuah, mereka malu kalau malas, atau pun kalau diberikan tugas tetapi mereka gagal laksanakannya, tak buat betul-betul.

“Kalau ikutkan dulu pemimpin Jepun akan bunuh diri tetapi Tun tidaklah mahu lakukan seperti itu, tetapi dia nak kita lengkapkan anak-anak supaya mempunyai sikap rajin bekerja, malu jika malas, malu jika tidak dapat laksanakan tugas yang diberi.

“Dan yang paling Tun kata (tegaskan), sangat kena tanam dalam jiwa anak Melayu kita ini, malu nak dapatkan benda percuma,” katanya.

Bagaimanapun, kata Maszlee hasrat Mahathir itu tidak dapat dijayakan tanpa bantuan dan sokongan daripada warga pendidik.

“Tun tanya saya, boleh ke nak buat semua ini? Saya jawab boleh, tetapi dengan bantuan tuan puan sekalian. 

“Tuan-tuan adalah harapan bangsa dan tuan-tuanlah yang dapat menterjemahkan hasrat perdana menteri supaya kita dapat buat perubahan sikap di kalangan anak-anak kita, supaya mereka tidak lagi bersikap malas, membuang waktu dan meminta-minta.

"Mereka perlu dilengkapi dengan nilai, sikap amanah, sikap integriti, rajin bekerja, malu jika malas dan malu jika hanya menadah tangan untuk dapatkan sesuatu,”katanya.