Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

MRR2: Samy persalahkan pegawai JKR

Pauline Puah

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu membuat satu pendedahan mengejutkan apabila beliau mengatakan kelewatan kerja membaiki jejambat retak di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2)di Kepong disebabkan oleh pergeseran dalaman dalam Jabatan Kerja Raya (JKR) .

Dalam laporan muka depan akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily News hari ini menteri itu berkata, kementeriannya bersedia menjalankan kerja membaikpulih lebih awal lagi tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana terdapat "beberapa orang" di dalam jabatan itu enggan bertindak.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan atau mendedahkan identiti "beberapa orang" yang dimaksudkannya itu.

Katanya, perbezaan pendapat antara beberapa orang jurutera kanan di dalam kementerian berkenaan menyebabkan kerja membaikpulih itu ditunda beberapa kali.

"Kementerian saya telah mengambil semua langkah perlu untuk membaiki jejambat tersebut. Semuanya telah disiapkan tetapi beberapa orang enggan bertindak,"ujarnya.

Dalam laporan akhbar tersebut, Samy juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah diberitahu mengenai masalah itu,lalu membuat keputusan untuk campurtangan dengan mengarahkan jejambat tersebut ditutup bagi membolehkan kerja membaikpulih dilakukan segera.

Jejambat tersebut pernah ditutup selama tiga bulan dari 9 Ogos 2004 selepas 33 tiang sokongannya mengalami keretakan. I dibuka semula pada 12 November 2004 dengan hanya empat daripada enam laluannya boleh digunakan oleh trafik.

Pada masa yang sama kerajaan melantik firma perunding Britain, Halcrow Group untuk menyiasat keretakan berkenaan dan mengsyorkan cara membaikpulihnya.

Dalam laporannya pada 29 September 2004, firma perunding itu menyatakan terdapat kesilapan dalam rekabentuk dan kekurangan dayatahan pada tiang sokongan jejambat itu.

Pada Disember 2004, Halcrow menghantar kertas cadangan untuk membaiki jejambat berkenaan kepada JKR tetapi jabatan itu tidak mengambil tindakan segera melaksanakannya.

Ketua Pengarah JKR, Prof Wahid Omar tidak dapat dihubungi untuk ulasan.

Jejambat berkenaan adalah sebahagian daripada laluan pakej 11 MRR2 yang bernilai RM238 juta. Pembinaan jejambat tersebut dilakukan oleh kontraktor BumiHiway (M) Sdn Bhd, Sukmin Sdn Bhd and Konsortium Kontraktor Melayu.