Polis Daerah Machang menahan empat lelaki dan merampas sejumlah 475 bungkus daun dan air ketum serta 285 botol ubat batuk dalam serbuan di belakang sebuah rumah di Kampung Pek di Machang, Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, ASP Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata, rampasan itu terdiri daripada 45 bungkusan air ketum seberat 31.5 liter , 430 bungkus daun ketum seberat 86 kilogram dan 285 botol ubat batuk anggaran isipadu 28.5 liter pada pukul 915 pagi.

“Kesemua bahan-bahan itu bernilai lebih RM6,757,00 untuk dipasarkan di sekitar Machang dan Kuala Krai,” katanya kepada pemberita di Machang, hari ini.

Beliau berkata, ketika ditahan oleh 12 anggota polis yang menyamar, mereka yang berumur antara 18 hingga 54 tahun sedang memproses bahan-bahan itu di dalam sebuah semak tanpa menyedari kehadiran anggota polis.

“Mereka terkejut dan tidak sempat melarikan diri kerana polis bertindak cepat dan sudah mengepung kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan dibawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata, dalam siasatan awal pihaknya mendapati bekalan daun ketum diperolehi dari Kedah manakala bekalan ubat batuk diperolehi dari Kuala Lumpur.

- Bernama