Dakwaan dana RM90j: PAS beri amaran
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pengesahan dibuat pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu membuktikan segala tohmahan dan dakwaan yang dibuat kepada parti terbabit adalah pembohongan dan fitnah.
Kata Takiyuddin lagi ia juga menunjukkan perancangan jahat ke atas PAS bertujuan untuk memburukkan imej dan integriti parti tersebut terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu.
"Justeru itu, PAS menyeru semua pihak agar dapat menerima pengesahan daripada SPRM ini sebagai suatu fakta sahih yang dibuat hasil siasatan yang telus, profesional dan tanpa gentar atau berat sebelah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu ketika bertemu dengan pemberita di Terengganu, Shukri berkata hasil siasatan SPRM setakat ini tidak menemui sebarang bukti ada kemasukan dana RM90 juta yang didakwa sebelum ini.
Sejak siasatan SPRM bermula pada 6 Februari lalu, suruhanjaya itu telah mengambil keterangan anggota jawatankuasa pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas timbalan ppresiden Nasharudin Mat Isa.
Ia susulan laporan terhadap SPRM, selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyelesaikan samannya terhadap pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah.
Dalam kenyataan sama Takiyuddin juga memberi peringatan kepada pihak yang berkenaan supaya berhenti memainkan isu berkenaan.
"PAS berhak mengambil segala tindakan mengikut undang-undang sekiranya ada lagi pihak yang meneruskan fitnah seumpamanya terhadap parti," katanya.

