Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ingat sama pekerja syif malam, Loke nasihat pembangkang

Disindir dan dikecam dengan hujah bahawa pelepasan tol pada waktu menjelang tengah malam hingga awal pagi, Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini memberikan komen balas.

Kata Loke keputusan terbaru kerajaan untuk menyusun semula mekanisme bayaran tol di beberapa lebuh raya mendapat reaksi daripada pemimpin pembangkang.

Katanya pembangkang perlu sedar bukannya semua pengguna lebuh raya pada tengah malam dan awal pagi adalah pemabuk.

"Adakah orang yang menggunakan lebuh raya pada waktu berkenaan semuanya pemabuk?

"Pembangkang jangan lupa, ada orang yang bekerja syif malam," katanya kepada media di Semenyih hari ini.

Semalam Putrajaya mengumumkan keputusan kerajaan menyusun semula mekanisme pembayaran tol di beberapa lebuh raya.

Melalui langkah tersebut pengguna empat laluan terbabit tidak dikenakan sebarang caj untuk tempoh dari 11 malam hingga 5 pagi.

Ada PRK tak boleh umum

Mereka juga menikmati potongan harga sebanyak 30 peratus jika menggunakan kemudahan tersebut di luar waktu puncak yang ditetapkan selama enam jam sehari.

Bagi kadar bayaran waktu puncak mereka masih dikenakan kadar yang ada sekarang.

Lebuh raya yang terbabit ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Menurut Loke antara orang yang kuat mengecam langkah terbaru kerajaan itu ialah bekas perdana menteri Najib Razak serta bekas menterinya, Dr Wee Ka Siong.

Sementara itu Loke juga menafikan pengumuman tersebut dibuat untuk menarik undi orang Semenyih agar menyokong PH.

Katanya tiada satu pun lebuh raya yang terbabit dalam pengumuman tersebut berada di kawasan Semenyih.

"Adakah kerana ada PRK di Semenyih maka kami (kerajaan) tidak boleh buat apa-apa pengumuman?" katanya.

Loke menambah kerajaan tidak boleh menunggu lama untuk mengumumkan perkara tersebut kerana rakyat mahu melihat dasar yang diperkenalkan kerajaan PH.

"Kita nak tunggu sampai bila? Kalau (nak tunggu) selepas Semenyih, ada PRK Rantau lagi," katanya.

Lihat Komen
ADS