2 lagi suspek kes tipu pekerjaan di Kemboja direman
Dua lagi suspek kes penipuan pekerjaan sehingga mengakibatkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja baru-baru ini direman selama empat hari mulai hari ini.
Permohonan reman ke atas seorang lelaki dan wanita tempatan masing-masing berumur 35 tahun itu dibuat oleh pegawai siasatan kes berkenaan ASP Pricha Azin di hadapan Majistret Faelly Jeffrey Lanjungan di Mahkamah Majistret Kuching.
Kedua-dua suspek itu ditahan di dua rumah berasingan di Traffic Garden dan Taman Chung Hua pada 5 petang semalam.
Sabtu lepas, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun berhubung kes berkenaan dan telah direman selama empat hari bermula semalam.
Sehingga kini, seramai 23 orang terdiri daripada 18 lelaki dan lima perempuan tampil membuat laporan polis berhubung kes tersebut.
Kesemua 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja itu tiba di tanah air pada 17 Feb lepas dan daripada jumlah itu, 40 orang merupakan warga Sarawak berusia antara 19 hingga 44 tahun.
- Bernama

