Malaysiakini
BERITA

Nazri anggap MCA bukan lagi anggota BN

Annabelle Lee

Diterbitkan

Tidak dapat dipastikan sama ada MCA masih lagi sebahagian daripada anggota parti komponen BN atau tidak, kata setiausaha agung gabungan itu, Nazri Aziz.

Beliau yang terkenal sebagai tokoh berterus-terang menyatakan ada beberapa sebab mengapa kedudukan MCA boleh dipersoalkan.

"Siapa yang cakap kami dalam satu gabungan? Saya rasa mereka nak bubarkan BN, sebab mereka tak mahu pakai baju biru pun," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Nazri ditanya mengenai kritikan dibuat MCA berhubung kenyataannya mengenai kedudukan sekolah vernakular semalam.

Kelihatan enggan memberi tumpuan yang banyak kepada MCA ketika ditanya kesahihan status parti itu dalam BN, Nazri berkata: "Saya tak tahu, sebab mereka tidak bersetuju dengan kami."

Kata Nazri semasa PRK Balakong sebelum ini parti terbabit bertanding sebagai MCA dan bukan BN.

"Jadi secara konstruktif, saya fikir mereka bukan BN lagilah, OK?" katanya.

Nak keluar, keluarlah

Dituduh menyerang orang bukan Melayu dan berkempen untuk PH dalam PRK Semenyih, Nazri menjelaskan, beliau tidak berniat untuk mengendahkan MCA.

Menurut Nazri apa saja yang dinyatakan MCA beliau tidak akan peduli, malah parti itu, katanya, menyerang beliau seolah-olah mereka parti pembangkang.

"Apa pun saya tak kisah," katanya.

Nazri juga ditanya sama ada BN akan mengadakan mesyuarat majlis pimpinan tertinggi untuk membincangkan usul MCA yang mahu gabungan itu dibubarkan.

Kata Nazri tiada keperluan mendesak untuk mengadakan mesyuarat tersebut.

Tambahan pula katanya ada hal yang lebih penting iaitu PRK Semenyih - yang akan diadakan pada 2 Mac ini - diikuti PRK Rantau di Negeri Sembilan.

"Anda mesti faham, dalam BN ada persetujuan bersama bahawa sebarang cadangan atau usul yang dibawa mesti dipersetujui bersama.

"Kalau ada satu parti tak bersetuju, ia tidak boleh diterima. MCA ni nak bubarkan BN tapi MIC dan Umno tak bersetuju. Maksudnya apa?" katanya.

Menurutnya lagi jika MCA berhajat mahu keluar dari BN mereka boleh melakukannya tanpa halangan, seperti yang dilakukan Gerakan.

Katanya Gerakan juga tidak menyalahkan Umno atas kekalahan BN kepada PH pada PRU lalu.

"Pada saya kalau mereka nak keluar, keluar sajalah," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.