Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dalam surah al-Anbiya ayat 107, Allah SWT menyebut: “Kami tidak mengutuskan engkau, wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia”.

Kata kunci bagi ayat tadi ialah “rahmat”, iaitu membawa makna kasih sayang.

Dalam erti kata lain, Allah mengutuskan Muhammad SAW sebagai satu bentuk kasih sayang-Nya kepada umat manusia.

Rahmatan lil alamin menjadi satu gagasan yang menegaskan bahawa Islam bukanlah satu agama tertutup atau eksklusif, sebaliknya terbuka dan menjadi panduan bagi kehidupan seseorang Muslim. Malah, gagasan ini bukanlah menjadi sesuatu yang terlalu asing bagi kita pada hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri baru-baru ini menggagaskan falsafah Islam Rahmatan Lil Alamin sebagai asas dalam tadbir urus yang berasaskan Islam.

Menurut beliau, Islam seharusnya membuka ruang untuk berdialog bagi mewujudkan persefahaman sejagat.

Justeru, gagasan rahmatan lil alamin dilihat sesuai dalam konteks kerencaman latar belakang masyarakat di Malaysia.

Bagaimanapun, gagasan itu sering dihimpit dengan persepsi politik kepartian semata-mata.

Timbul keresahan sesetengah orang

Persoalannya ialah, sejauh manakah pemahaman masyarakat Malaysia - khususnya Melayu-Muslim - terhadap gagasan tersebut? Dan apakah potensi falsafah Islam Rahmatan Lil Alamin dalam konteks Malaysia?

Secara amnya, masyarakat Melayu-Muslim masih lagi kurang yakin terhadap kerajaan PH. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Merdeka Centre, peratusan pengundi Melayu yang memilih PH pada PRU ke-14 tahun lalu - secara relatif - adalah rendah iaitu hanya di antara 25 peratus hingga 30 peratus.

Walaupun berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara, beberapa pembaharuan yang dilakukan setakat ini menimbulkan keresahan segelintir masyarakat Melayu-Muslim.

Antaranya, pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan penting dalam kerajaan, seperti jawatan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara.

Kerjasama di antara PAS dan Umno baru-baru ini juga berjaya meningkatkan keresahan serta kemarahan segelintir Melayu Muslim terhadap prestasi PH Harapan dalam menangani isu Melayu-Islam.

Sentimen perpaduan Melayu-Islam ini memberi cabaran yang hebat kepada hala tuju pentadbiran kerajaan baru, khususnya gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin ini.

Terdapat juga beberapa isu kontroversi yang tercetus hasil daripada perubahan yang ingin dilakukan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Antaranya adalah pendekatan beliau terhadap golongan transgender serta polemik tentang isu dosa awam dan dosa peribadi.

Sudut pandang disempitkan

Hal ini mencetuskan persepsi negatif bagi segelintir masyarakat Melayu-Muslim.

Di Malaysia, gagasan ini hanya dilihat sebagai salah satu jargon politik yang diwujudkan oleh parti bagi meraih sokongan pengundi.

Masyarakat Melayu-Muslim secara umumnya sudah terbiasa dengan cara pandang Islam yang konservatif.

Dalam aspek muamalah (hubungan antara manusia) misalnya, perbincangan lebih tertumpu kepada soal hukum, dosa dan pahala di sebalik sesuatu perbuatan.

Maka tidak hairan jika mentaliti masyarakat Melayu masih belum bersedia menerima pendekatan baru yang dilihat mereka amat pelik kerana tidak seperti apa yang mereka fahami sebelumnya.

Tambahan lagi, pentafsiran syariat secara literal telah menyempitkan lagi sudut pandang masyarakat Melayu-Muslim tentang Islam.

Contohnya, hukum hudud dilihat sebagai satu perkara wajib untuk dilaksanakan meskipun terdapat beberapa ulama kontemporari - seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi - pernah membahaskan kewajaran penangguhan hudud atas faktor realiti setempat.

Potensi konsep “Islam Rahmatan Lil Alamin” tidak sepatutnya terjerumus kepada kepentingan politik semata-mata untuk kekal di tampuk kuasa.

Keseriusan dan komitmen agensi-agensi kerajaan adalah sangat penting bagi memastikan gagasan ini tidak sekadar terjerumus ke dalam politik kepartian yang sempit.

Antara contoh terdekat ialah tentang kaedah pelantikan ahli lembaga Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) yang dilihat sebagai lantikan politik.

Pelantikan itu tidak dapat diterima sesetengah pihak meskipun menteri meyakinkan masyarakat bahawa ia dibuat atas kapasiti kepakaran individu terbabit.

Jadi tempat dialog

Justeru, dalam masa yang singkat ini, menteri di JPM perlu menggunakan mekanisme gerak dakwah yang inklusif tanpa meminggirkan mana-mana pendakwah yang berbeza pandangan, terutama sekali seteru utama PH, iaitu PAS dan Umno.

Namun, satu garis panduan yang jelas perlu diwujudkan supaya dapat mengharmonikan kepelbagaian yang ada dan kembali kepada tujuan asal, iaitu konsep Islam Rahmatan Lil Alamin; Islam rahmat untuk sekalian alam.

Gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin seharusnya mengharmonikan lagi kepelbagaian yang wujud di Malaysia.

Usaha untuk memberi pemahaman terhadap masyarakat Melayu Muslim tentang gagasan ini perlu terus dilakukan. Jauh dari sekadar menjadi agenda parti politik tertentu, gagasan ini bersifat terbuka, menjangkaui perbezaan pandangan dan fahaman.

Dalam hal ini, fungsi masjid sebagai tempat untuk kegiatan masyarakat setidak-tidaknya perlu diberi perhatian. Masjid menjadi tempat untuk berdialog bagi mencari persefahaman dan toleransi pelbagai agama, serta mengangkat nilai kemanusiaan dalam perundangan syariah.

Justeru idea ini juga membuka nilai ihsan dengan mengangkat nilai manusiawi bagi mencapai keamanan sejagat.

Peranan dialog amat penting bagi mencapai kesefahaman dalam masyarakat yang majmuk.

Ilmuan dipandang tinggi

Hal ini secara tidak langsung dapat membantu mewujudkan suasana keamanan sejagat serta menjauhkan sifat ekstremis dalam sesuatu fahaman.

Masjid secara umumnya dianggap sebagai pusat kegiatan ibadah, seperti sembahyang dan zikir semata-mata. Seharusnya masjid juga boleh menjadi pusat kegiatan masyarakat dan tempat untuk memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Muslim.

Antara contoh program yang mendapat sambutan ialah mosque tour ataupun ziarah masjid yang berjaya memperkenalkan Islam yang rahmah kepada masyarakat.

Selain itu, gagasan ini juga boleh menyegarkan sistem undang-undang syariah di Malaysia.

Hal ini dapat dilihat misalnya dalam penganjuran satu diskusi meja bulat antara menteri hal ehwal agama, para pengamal undang-undang syarie (terdiri daripada hakim dan peguam), serta para ilmuwan Islam.

Perbincangan ini cuba mencari inisiatif untuk mengangkat nilai pengadilan restorative (rehabilitasi) dalam tatacara hukuman jenayah syariah serta mengharmonikan pertindihan antara jenayah sivil dan syariah.

Sehubungan dengan itu, para ilmuwan yang dipandang tinggi dalam masyarakat seharusnya memainkan peranan besar dengan memperkenalkan gagasan ini agar masyarakat pelbagai kaum dan agama dapat merasai faedahnya.

Konotasi gagasan ini amat perlu dalam konteks berbilang bangsa di Malaysia.

Jadi, konsep ini seharusnya dipandang serius oleh semua masyarakat khususnya Melayu-Muslim supaya kita hidup dengan bertoleransi dan saling memahami antara satu sama lain.


NIDHAL RAWA ialah penganalisis Program Kajian Politik Penang Institute. Antara kajiannya ialah perbandingan undang-undang syariah antara negara serta sosio-politik masyarakat Islam di Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS