Bendahari Vatican disabit kesalahan serangan seksual
GLOBAL l Bendahari Vatican Kardinal George Pell disabitkan kesalahan serangan seksual berhubung lima pertuduhan ke atas budak koir lelaki berusia 13 tahun di Australia lebih dua dekad lalu.
Dia adalah paderi katolik paling kanan yang terlibat dengan jenayah seks kanak-kanak.
Keputusan bersalah itu diumumkan hari ini setelah barisan juri sebulat suara mendapati Pell bersalah dalam satu pertuduhan penganiayaan seksual dan empat serangan lucah terhadap dua kanak-kanak lelaki di Gereja Saint Patrick di Melbourne pada 1990an.
Pell, 77 didakwa memaksa budak lelaki berkenaan melakukan aksi seks terhadapnya. Tiada respon daripada Vatican namun Pell kekal pendirian bahawa tidak bersalah.
Salah satu daripada dua mangsanya meninggal dunia pada tahun 2014.
Menurut peguam Pell, anak guamnya kekal tidak bersalah dan akan meneruskannya serta rayuan telah dibuat terhadap keputusan berkenaan.
Sebelum keputusan hari ini, skandal berkenaan dikatakan telah menjejaskan kedibiliti gereja katolik di Amerika Syarikat, Chile, Australia dan di negara lain selama tiga dekad lalu.
Pada 11 Disember tahun lalu, seorang juri di Mahkamah Daerah Victoria di Melbourne mendapati Pell bersalah susulan perbicaraan selama empat minggu.
Setiap lima kesalahan itu membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara. Peguam Pell telah memfailkan rayuan terhadap keputusan verkenaan atas tiga alasan, yang jika berjaya boleh membawa kepada perbicaraan semula.
"Kardinal Pell sentiasa mengekalkan pendiriannya tidak bersalah dan terus berbuat demikian," kata peguam Pell, Paul Galbally, di luar mahkamah.
Pell, yang masih dalam jaminan, meninggalkan mahkamah tanpa bercakap kepada pemberita, yang terus mengasaknya semasa dia berjalan menuju ke keretanya.

