Penyanyi S.Jibeng meninggal dunia
Penyanyi cacat penglihatan terkenal era 60-an S.Jibeng atau nama sebenarnya Jaafar Sidiq, 64, meninggal dunia pukul 7 pagi tadi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bharu akibat sesak nafas.
Penyanyi cacat penglihatan terkenal era 60-an S.Jibeng atau nama sebenarnya Jaafar Sidiq, 64, meninggal dunia pukul 7 pagi tadi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bharu akibat sesak nafas.
Isteri Allahyarham, Maznah Sidek, 48, berkata, suaminya telah dimasukkan di hospital sejak petang semalam kerana sesak nafas ketika di dalam perjalanan pulang dari Seremban selepas mengadakan persembahan.
"Ketika dalam perjalanan pulang, Allahyarham telah mengadu sesak nafas dan telah dihantar ke klinik di Simpang Renggam sebelum dipindahkan ke Hospital Batu Pahat, tetapi Allahyarham minta dipindahkan ke HSA," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini Johor Bharu.
Menurut laporan Bernama, allahyarham dipindahkan ke HSA petang semalam dan kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira pukul 11 malam tadi di mana beliau menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi di hadapan isteri dan anak-anaknya.
Allahyarham yang popular dengan lagu "Musafir Di Aidil Fitri" dan "Inai di Jari" dikatakan mengalami penyakit jantung, paru-paru berair, kencing manis dan mengalami masalah buah pinggang tetapi enggan mendapatkan rawatan di hospital sebelum ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima anak dengan dua daripadanya lelaki yang berusia antara 19 dan 28 tahun serta tujuh orang cucu.
Beberapa rakan seangkatan dengan Allahyarham seperti A.Rahman Onn dan beberapa artis veteran dari Singapura turut berada di rumahnya untuk menziarahi jenazah yang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun selepas solat Zohor ini.

