Drama dalam mahkamah, ibu tanya tertuduh 'kenapa bunuh anak saya'
Perbicaraan kes pembunuhan seorang penganggur yang dikatakan mati akibat dipukul di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang tahun lepas, tegang seketika selepas salah seorang saksi mula menyoal dan marah terhadap tiga tertuduh.
T Rukumani, yang juga ibu mendiang V Sakthivadivelan, tidak dapat menahan kemarahan terhadap tiga tertuduh yang berada di kamar orang kena tahan (OKT) dan mula menyoal mereka.
"Kenapa membunuh anak saya?” tanya Rukumani terhadap tiga tertuduh B Davendran, K Neelamegan dan P Hurisudhan.
Ketiga-tiga mereka berdepan pertuduhan membunuh dengan niat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.
Ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh K Selvarajah.
Rukumani turut meluahkan kemarahannya terhadap tertuduh ketika diminta ke bilik saksi semasa sesi rehat.
Hakim Collin Lawrence Sequerah tiada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu.
Ketiga-tiga tertuduh membalas dengan berkata Rukumani menipu.
Mahkamah panas seketika selepas kedua-dua pihak saling tuduh menuduh dan memarahi satu sama lain.
"Jaga kamu semua, tuhan akan memberi hukuman kepada kamu semua," kata Rukumani sebelum Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi bersama jurubahasa mahkamah dan pihak polis meleraikan keadaan.
Terdahulu, Rukumani sebagai saksi ketiga dalam kes ini mengesahkan tertuduh kedua Davendran menendang anaknya yang terbaring di lantai ketika kejadian tersebut pada 18 April 2018.
"Saya nampak Deva (nama panggilan Davendran) menendang anak saya yang terbaring di lantai dengan badan dan mukanya berlumuran darah, manakala dua lagi tertuduh berdiri di sebelahnya dengan memegang kayu," kata Rukumani sambil menangis.
"Takkan mereka nak berdiri sahaja di sana tanpa sebab," tambah Rukumani lagi.
Mahkamah ditangguh esok 9.30 pagi untuk perbicaraan seterusnya.
Untuk rekod, Sakthivadivelan, 53, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai dipukul sampai mati.

