PRK Semenyih: 78 peratus mengundi awal
Pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih melibatkan anggota polis dan pasangan berakhir 5.00 petang ini, dengan peratusan pergi mengundi 78 peratus.
Dua pusat pengundian awal di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, yang dibuka sejak 8.00 pagi, masing-masing ditutup tepat 5.00 petang dan 2.00 petang ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 761 layak mengundi di pusat mengundi Kem Batalion 4 PGA Semenyih manakala 97 lagi di IPD Kajang.
Jumlah keseluruhan pengundi awal bagi DUN itu ialah 951 orang yang mana sebahagian lagi iaitu 93 pengundi awal telah mengundi secara pos.
Proses pengundian awal itu turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan, selain kalangan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik oleh SPR.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun hari ini meninjau proses pengundian awal di kedua-dua pusat pengundian awal itu.
Keempat-empat calon yang bertanding dalam PRK itu turut meninjau perkembangan pengundian awal berkenaan.
Mereka ialah calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia).
Kertas-kertas undi awal itu tidak akan dikira di tempat mengundi hari ini, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis. Peti-peti undi awal itu akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan.
Hari mengundi PRK itu ditetapkan Sabtu ini. Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.
DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir berada di luar negara.
- Bernama

