60 peratus dah sokong BN – Ahmad Maslan
Anggota parlimen Pontian Ahmad Maslan mengingatkan jentera BN supaya tidak terlalu selesa walaupun menurutnya BN berpotensi menang pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Katanya di atas kertas terdapat kelebihan pada calon BN Zakaria Hanafi berbanding lawannya Kuan Chee Heng (bebas), Muhammad Aiman Zainali (Pakatan Harapan) dan Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia).
"Mengikut teori atas kertas, Semenyih ini boleh dimenangi oleh Barisan Nasional.
"Oleh itu, kita harap jentera jangan selesa walaupun ada laporan-laporan mengatakan bahawa 60 peratus sudah sokong BN.
“Jangan selesa, jangan selesa sehingga (jam) 5.30 petang, 2 haribulan tiga (hari pengundian)," beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar web PAS Harakahdaily.
Beliau ditemui media selepas berucap pada sebuah program anjuran Wanita Umno Selangor di sebuah pusat jagaan di Hulu Langat hari ini.
Ahmad berkata, pengundi atas pagar yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 kini tidak selesa dengan perkembangan semasa.
"Apabila undi Umno dan PAS dicampur di sini, kita cuma kalah 1,900 lebih kurang dan dari segi teorinya belah sana yang atas pagar yang telah mengundi mereka tidak selesa dengan apa yang berlaku sekarang.
"Kemungkinan ada beberapa ribu pengundi atas pagar yang dah mengundi mereka akan kembali kepada kita," katanya.

