Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan pihaknya terlibat dengan penamatan kontrak mahupun pengambilan mana-mana pengawal keselamatan memandangkan perkara itu merupakan perolehan perkhidmatan dengan syarikat swasta.
Dalam satu kenyataan hari ini kementerian itu berkata kontrak pengawal keselamatan dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapatkan kontrak perkhidmatan.
"Ia dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan.
"Memandangkan penyertaan dalam tender mengikut harga yang ditawarkan, tidak adil untuk menganggap KPM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengawal yang diambil untuk bekerja oleh syarikat yang menerima tawaran kontrak daripada KPM," kata kenyataan itu seperti dilapor Bernama.
KPM menegaskan kesemua kontrak yang tamat tempoh itu telah ditender semula mengikut keperluan semasa.
"KPM tidak pernah menganiaya mana-mana pihak dalam perkara ini dan tidak pernah menamatkan perkhidmatan 12,000 pengawal keselamatan seperti yang didakwa PIKM.
"Kontrak yang ditender semula disertai oleh syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa seperti bilangan syif dan pekerja," kata kenyataan itu.
KPM berkata syarikat yang pernah mendapat kontrak daripada kementerian sebelum ini juga menyertai proses tender secara adil, telus dan penuh berintegriti.
Semalam Presiden PIKM, Mustapa Ali dilapor menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji semula terma kontrak pengawal keselamatan sekolah yang ditukar daripada dua syif kepada tiga syif setiap hari.
Mustapa Ali mendakwa hal itu kerana terma kontrak tersebut menyebabkan 12,000 pengawal keselamatan sekolah ditamatkan perkhidmatan selain tidak disambung kontrak oleh Kementerian Pendidikan.
“Dalam format dua syif yang terbahagi kepada petang dan malam, empat pengawal akan bertugas setiap hari tetapi format tiga syif terbahagi kepada pagi, petang serta malam, hanya tiga pengawal keselamatan bertugas setiap hari.
“Kita menggaji kira-kira 40,000 pengawal keselamatan untuk mengawal 12,000 sekolah di seluruh negara. Pelaksanaan format tiga syif ini sudah tentu memberi kesan kepada kami,” katanya.
Mengulas lanjut, KPM berkata penawaran kontrak baru bagi perkhidmatan berkaitan adalah berdasarkan kepada skop dan spesifikasi yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu syarikat yang dilantik dan KPM.
