Penduduk di daerah Kota Tinggi dinasihatkan agar berhemat menggunakan air memandangkan Empangan Sungai Lebam, yang membekalkan air kepada mereka, sudah mencatatkan bacaan di bawah paras kritikal iaitu 10.9 meter pada masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata pada hari biasa, empangan itu merekodkan paras normal air sebanyak 14 meter berbanding 12.7 meter (untuk paras kritikal).

“Tetapi keadaan cuaca yang kering dan panas sekarang amat merisaukan Kerajaan Johor. Kita tidak hendak ada apa-apa masalah bekalan air kepada rakyat memandangkan di sini (Kota Tinggi) terdapat kira-kira 100,000 penduduk dari kawasan seperti Pengerang, Teluk Ramunia, Air Tawar dan Tanjung Balau.

Jadi rakyat perlu memberikan kerjasama dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat empangan itu, hari ini.

Puah berkata kadar taburan hujan yang semakin menurun di kawasan empangan itu membimbangkan kerajaan negeri terhadap pengurangan bekalan air.

“Januari tahun ini, jumlah taburan hujan yang diterima ialah 110 meter berbanding 475 meter pada tempoh sama tahun lalu. Februari ini pula 60 meter berbanding 100 meter (Febuari 2018).

Maknanya, ia mencerminkan krisis yang berlaku pada 2015 dan disebabkan itu, kita perlu membuat segala kaedah untuk mengelakkan catuan,” katanya.

Kaedah itu termasuklah mengepam sebanyak 30 juta liter sehari (MLD) jika keadaan cuaca panas, berterusan namun buat masa ini, bekalan air masih boleh bertahan selama 72 hari, katanya.

Puah memberitahu selain Empangan Sungai Lebam, Empangan Lok Heng dekat Kota Tinggi, turut menyaksikan bacaan bekalan air yang sangat rendah iaitu pada paras dua meter kini berbanding 1.5 meter (paras kritikal).

“Bekalan sekarang hanya boleh bertahan selama 21 hari dan jika terus berkurangan boleh menjejaskan kira-kira 20,000 penduduk namun kita ada ‘pelan tindakan kecemasan’ dengan menyediakan tiga ‘tube well’ (telaga tiub) di kawasan empangan,” katanya.

-- Bernama