Lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang menanti golongan pencari kerja sempena Karnival Kerjaya Selangor 2019 pada 16 Mac ini yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata program itu adalah inisiatif Jabatan Tenaga Kerja Selangor dengan kerjasama JobsMalaysia.
"Kami menganggarkan seramai 10,000 pengunjung dijangka hadir pada karnival tersebut yang melibatkan 180 majikan swasta dan kerajaan menawarkan peluang pekerjaan.
"Ini juga merupakan kali pertama penganjuran melibatkan pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membuka peluang khususnya untuk golongan belia," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut Khairuddin, karnival sehari yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari itu bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan terbuka kepada semua golongan pencari kerja.
Katanya, bagi mengelakkan kesesakan berlaku, pengunjung disarankan untuk datang awal dengan membawa sijil akademik dan berpakaian kemas serta mendaftar di laman sesawang www.jobsmalaysia.gov.my sebelum hadir ke program itu.
Selain pameran kerjaya dan temuduga terbuka, terdapat juga aktiviti lain di karnival berkenaan seperti klinik kerjaya dan ceramah kerjaya bersama JobsMalaysia Selangor.
-- Bernama
