Integriti yang tinggi semata-mata tidak memadai untuk menilai seseorang kerana ia masih tidak mencukupi, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Menurutnya selain integriti seseorang itu mesti dilengkapkan dengan akidah yang menjadi asas kepada semua amalannya.

"Begitu juga akhlak yang luhur wajib berlandaskan iman yang sebenarnya.

"Iman itu dinamakan juga sebagai akidah, yang bererti simpulan kuat terhadap Islam yang dianut dengan ikatan yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut anggota parlimen Marang itu lagi beriman kepada Allah menjadi tunggak akidah Islam.

Tanpa iman katanya segala amal yang baik dan akhlak yang mulia tidak bererti lagi, kerana ia tidak bernilai pada hari akhirat.

Memetik kisah yang disandarkan kepada hadis Rasulullah, Abdul Hadi berkata dengan adanya iman seseorang yang melakukan terlalu banyak maksiat tetap akan dimasukkan ke syurga.

"Tegasnya, ia menunjukkan bahawa sejahat-jahat orang yang beriman, akhirnya dia akan ke syurga, dan sebaik-baik orang kafir dia tetap ke neraka," katanya.

Amalan akan ditolak

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Setiausaha Agung BN, Nazri Aziz, menuduh kerajaan PH lemah dan menyerahkan hak-hak Melayu kepada kaum lain.

Menurut Nazri hal itu dapat dilihat berdasarkan pelantikan tokoh bukan Melayu sebagai ketua hakim negara, peguam negara dan menteri kewangan.

"Saya bukan rasis, saya orang Malaysia tapi saya nak beritahu, mempertahankan keistimewaan (Melayu) itu adalah merupakan kewajiban setiap PM.

"Tapi hari ini oleh kerana kerajaan kita lemah, banyak benda berlaku yang tidak pernah berlaku semasa BN memerintah, AG, CJ, menteri kewangan," katanya semasa berceramah di Jalan Besar, Beranang sempena PRK Semenyih.


Baca Nasrudin: Sokongan berbeza pada BN maksud kempen lebih hebat


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Abdul Hadi dan PAS berjanji untuk tidak menyokong calon Umno dan BN dalam PRK berkenaan.

Abdul Hadi pula yang ditemui media sehari selepas bertemu Mahathir menjelaskan PRK Semenyih berbeza berbanding PRK Cameron Highlands kerana ia tidak melibatkan calon DAP.

Bagaimanapun PAS menafikan tidak menyokong calon BN, manakala Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menjelaskan, "perbezaan" dikatakan Abdul Hadi itu bermakna partinya akan bekerja lebih gigih membantu Umno.

Kata Abdul Hadi amal yang soleh dan akhlak yang mulia tetapi tidak disertakan iman akan ditolak mengikut perhitungan pada hari akhirat.

"Tegasnya iman tanpa amal soleh dan akhlak mulia adalah tidak sempurna. Amal soleh dan akhlak mulia tanpa iman pula akan ditolak," katanya.